top of page

Peluang Latihan Industri Perabot & Mesin Kayu Dibuka Untuk Belia Sabah

  • nabalunews
  • 10 hours ago
  • 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns


6 April 2026


KOTA KINABALU: Pusat Pembangunan Kemahiran Industri Perkayuan (WISDEC) Sabah secara rasmi membuka pendaftaran untuk Program Micro-Credential Furniture and Timber Machining Technology (FTMT) 2026 bagi kemasukan April 2026.


Program ini menawarkan latihan khusus dalam operasi pembuatan perabot secara modular yang fleksibel, memberi peluang kepada belia tempatan untuk meningkatkan kemahiran dalam sektor perladangan dan komoditi.


Program yang berlangsung sepenuh masa ini menawarkan pelbagai kemudahan menarik kepada peserta, termasuk penginapan, pengangkutan, elaun bulanan RM500, serta keperluan makanan dan minuman sepanjang tempoh latihan.


Penawaran ini bertujuan untuk memastikan peserta dapat menumpukan sepenuhnya perhatian terhadap latihan tanpa dibebani kos sara hidup.


Menurut kenyataan pihak penganjur, program ini diiktiraf sepenuhnya oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC), serta pihak industri.


Peserta yang berjaya menamatkan latihan akan menerima Sijil IMPAC sebagai pengiktirafan kelayakan profesional.


Antara kelebihan utama program ini ialah peluang pekerjaan dalam industri selepas tamat latihan, serta penggunaan kurikulum berdasarkan National Occupational Skills Standard (NOSS) yang menjamin kualiti pembelajaran sejajar dengan keperluan industri semasa.


Bagi yang berminat, syarat kelayakan adalah terbuka kepada warganegara Malaysia berusia 18 hingga 35 tahun, sihat tubuh badan, tidak rabun warna, serta mampu menghabiskan tempoh latihan sepenuhnya.


Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau mendaftar boleh menghubungi penyelaras program, Mohamad Amin Ehsan di talian 019-8329587, atau Muhammad Amirul Aiman (019-6877156), serta Aneesa (011-60815796).

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page