top of page

Peluncuran Nadi On Wheels (Now) Peringkat Negeri Sabah Perluas Akses Teknologi Dan Pembangunan Komuniti Pedalaman

  • nabalunews
  • Oct 15
  • 2 min read

ree

15 Oktober 2025


SINDUMIN: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil hari ini melancarkan NADI on Wheels (NOW) peringkat Negeri Sabah sempena Hari Bersama Komuniti (HBK) di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Pekan Sindumin, Sipitang.


Inisiatif di bawah Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ini merupakan komitmen kerajaan dalam memperluas keterhubungan dan memperkasakan komuniti luar bandar agar tidak tercicir daripada arus kemajuan negara.


Ia selaras dengan semangat NADI untuk membawa kemajuan, ilmu dan keterhubungan ke setiap pelosok tanah air.

ree

NOW merupakan pusat bergerak yang direka untuk membawa kemudahan teknologi dan perkhidmatan berasaskan komuniti terus kepada rakyat, khususnya di kawasan pedalaman yang sukar dicapai.


Kenderaan ini dilengkapi dengan satelit Starlink berkelajuan hingga 250 Mbps, komputer riba, tablet, projektor, tenaga solar mudah alih serta sistem Wi-Fi percuma.


NOW turut menyediakan ruang interaktif bagi pelaksanaan aktiviti latihan, pembelajaran komuniti dan program Perkhidmatan Pintar NADI.


Melalui inisiatif ini, NOW berupaya menyantuni rumah anak yatim, golongan Orang Kurang Upaya (OKU), masyarakat Orang Asli serta komuniti terpencil agar mereka juga dapat menikmati kemajuan teknologi.


Usaha meningkatkan capaian Internet ini turut dibuktikan melalui kejayaan NADI Pulau Banggi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila memenangi kategori ”Capacity Building” di World Summit on the Information Society (WSIS) 2025 di Geneva.


Pengiktirafan ini memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai negara yang proaktif dalam memperkasakan komuniti melalui teknologi digital.


Turut diadakan, pelantikan Pengerusi Panel Penasihat NADI bagi Parlimen Sipitang dan Beaufort yang akan memantau operasi, menyalurkan pandangan strategik serta memastikan pelaksanaan NADI terus memberikan manfaat kepada komuniti setempat.


HBK di NADI Sindumin turut dimeriahkan dengan pameran keusahawanan komuniti, program kesedaran digital dan pemeriksaan kesihatan percuma.


Program ini mendapat kerjasama strategik daripada PERKESO, MyFutureJobs dan Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) yang turut menjayakan segmen bimbingan kerjaya dan kesejahteraan komuniti.


Inisiatif ini diharap menjadi pemangkin kepada peningkatan kemahiran, ilmu dan sosioekonomi komuniti luar bandar, selaras dengan matlamat kerajaan untuk memastikan semua lapisan masyarakat menikmati peluang yang sama dalam memperkukuh taraf hidup dan kesejahteraan melalui akses kepada teknologi dan maklumat.


Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa; Ahli Parlimen Sipitang, YB Datuk Matbali Musah; Timbalan Pengarah Urusan (Kawal Selia dan Korporat) MCMC, Datuk Zurkarnain Mohd Yasin dan Pegawai Daerah Sipitang, Abd. Karim A.M Zahari.


 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page