top of page

Pemandu e-Hailing terima kelayakan tambahan BUDI95 mulai 15 Oktober ini

  • nabalunews
  • Oct 2
  • 1 min read

ree

2 Oktober 2025


PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju memberikan pemandu e-hailing sepenuh masa had kelayakan tambahan subsidi Budi Madani RON95 (BUDI95) bermula 15 Oktober ini.


Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan memaklumkan, pemandu e-hailing tidak perlu membuat permohonan secara individu, sebaliknya kerajaan akan berurusan terus dengan syarikat pengendali e-hailing (EHO) bagi permohonan secara berkelompok.


Selain itu, menurut MOF, kerajaan juga bersetuju untuk melanjutkan kelayakan untuk BUDI95 kepada warganegara yang merupakan pemilik bot berdaftar, tanpa memerlukan lesen memandu yang sah.


"Kerajaan Persekutuan sedang bekerjasama dengan agensi kerajaan negeri berkaitan seperti Lembaga Sungai-Sungai Sarawak dan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah bagi mengenal pasti pemilik bot berdaftar,” menurut kenyataan itu.


Menurut MOF, sejak pelaksanaan berperingkat BUDI95 mulai 27 September lepas, lebih tiga juta pengguna telah memanfaatkan kemudahan itu.


Ia membabitkan jumlah keseluruhan transaksi petrol bersubsidi bernilai RM255.6 juta, bersamaan 128.4 juta liter petrol dengan subsidi RM67 juta disalurkan kerajaan.


“Setakat jam 6 petang semalam, pembelian petrol RON95 bersubsidi menerusi sistem BUDI95 merekodkan transaksi berjumlah kira-kira RM84.2 juta.


"Jumlah itu membabitkan lebih 42.3 juta liter petrol RON95, dengan kerajaan menyalurkan subsidi sebanyak RM27.8 juta bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat,” menurut kenyataan itu lagi.


Kementerian itu turut menegaskan komitmen kerajaan dalam memastikan program subsidi bersasar itu berjalan lancar, telus serta memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, selain menjalankan pemantauan beterusan dan melaksanakan penambahbaikan dari semasa ke semasa.


Sebanyak 16 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif layak menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter, dengan setiap individu diberi ketetapan siling 300 liter sebulan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page