Pemandu lori 1 tan cedera dalam kemalangan akibat jalan licin di Sandakan

2 Ogos 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
SANDAKAN: Seorang pemandu lori 1 tan dilaporkan cedera selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan lori dan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Batu 28, Sandakan, petang tadi.
Kedua-dua kenderaan itu telah terbabas sendiri ke bahu jalan dipercayai akibat permukaan jalan yang licin.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 4.21 petang.
Katanya sepasukan 8 anggota dari Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan diketuai Komander Operasi, Rosemidian @ Rosdi Majid dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu mangsa.
Sejurus tiba di lokasi, pemandu lori yang tersepit di bahagian kaki kemudian berjaya dikeluarkan pasukan bomba dan seterusnya diberikan rawatan awal.
Manakala pemandu kenderaan pacuan empat roda, Toyota Hilux dilaporkan tidak mengalami kecederaan.
Setelah memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain yang wujud, operasi ditamatkan jam 5.40 petang.
Comments