- nabalunews
Pemandu lori ditahan disyaki seleweng diesel di stesen minyak
5 Ogos 2024
PENAMPANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah menahan seorang pemandu lori kerana disyaki menyeleweng diesel di sebuah stesen minyak di Jalan Datuk Panglima Banting, di sini, hari ini.
Lelaki warga tempatan berusia 31 tahun itu ditahan dalam Ops Tiris, kira-kira 11 pagi.
Pengarah KPDN Sabah, Georgie Abas berkata, pihaknya mengesan lori kotak jenama Daihatsu Model Super Delta yang cuba membuat pembelian diesel di stesen minyak berkenaan.
Katakan, hasil pemeriksaan lanjut mendapati lori itu mempunyai tangki tambahan jenis fiber di belakang lori mengandungi 206 liter diesel.
“Lori dan minyak diesel seterusnya disita untuk siasatan lanjut kerana pemandu gagal menunjukkan sebarang dokumen atau kebenaran daripada KPDN untuk membeli dan membawa diesel yang disimpan di dalam tangki tambahan selain tangki minyak kenderaan.
“Nilai sitaan keseluruhan berjumlah RM30,442.90. Pemandu lori ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan iaitu minyak diesel dengan tujuan untuk melakukan kesalahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).
“Individu yang disabit dengan kesalahan itu boleh didenda tidak melebihi RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta,” katanya.
Georgie berkata, KPDN Sabah akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan barang kawalan di negeri ini agar tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang boleh menyalurkan aduan kepada Kementerian melalui saluran WhatsApp iaitu 019-8488000.
“Orang ramai juga boleh juga melayari Portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my atau menghubungi Central 1-800-886-800 dan Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN,” katanya.
Commentaires