Pemandu Maut Kereta Terjunam Dalam Longkang
- nabalunews
- Jul 2, 2025
- 1 min read

2 Julai 2025
KOTA KINABALU: Seorang warga emas maut selepas kenderaan dipandunya terbabas sehingga merempuh tiang elektrik sebelum terjunam ke dalam longkang di Jalan Damai-Luyang, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Yong Ket Kong, 67, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 1 petang.

Katanya, sepasukan lapan anggota dan jentera bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian untuk membantu.
“Setibanya di lokasi kejadian, terdapat seorang mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan operasi mengeluarkan mangsa terus dijalankan.
“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut hadir membantu di lokasi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 1.50 petang.


















Comments