Pemandu Maut Tercampak Keluar Dari Kenderaan Dipandunya
- nabalunews
- 9 minutes ago
- 1 min read

17 Januari 2026
TAMBUNAN: Seorang pemandu maut selepas tercampak keluar dari kenderaan dipandunya dalam kejadian di hadapan Servay Jaya Supermarket, Jalan Dabata, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian jam 4.40 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Simon Jibit yang memandu Perodua Alza disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, Mitchell Francis George berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.56 petang.

Katanya, sepasukan tujuh anggota dan pegawai bersama jentera terus dikerah ke lokasi yang terletak sejauh kira-kira lima kilometer.
“Setibanya di lokasi pada jam 5.02 petang, pasukan mendapati kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu Perodua Alza dan Toyota Avanza.
“Pemandu Perodua Alza disahkan meninggal dunia, manakala pemandu Toyota Avanza tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, pasukan bomba kemudiannya menjalankan pemantauan keselamatan serta mengambil maklumat di lokasi kejadian sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.40 petang.














