top of page

Pemasangan Iklan Perlu Kelulusan, Permit Sah - DBKK

  • nabalunews
  • May 29
  • 1 min read

29 Mei 2025


KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengingatkan semua bentuk pemasangan iklan di kawasan pentadbirannya memerlukan kelulusan dan permit sah.


DBKK dalam satu kenyataan hari ini berkata, pemasangan iklan seperti sepanduk, banting, papan tanda premis dan papan arah tertakluk mengikut Undang-undang Kecil (UUK) Bandaraya Kota Kinabalu (Iklan) 1983 yang masih berkuat kuasa hingga hari ini.


“Walaupun peruntukan undang-undang tidak mewajibkan pemberian notis sebelum kompaun dikenakan, DBKK lazimnya akan mengeluarkan notis peringatan kepada peniaga dan pemilik premis terlebih dahulu sebagai langkah awal pematuhan,” menurut kenyataan itu.


Menurut DBKK, pihaknya mengambil maklum terhadap rungutan segelintir pihak berhubung penguatkuasaan ke atas pemasangan iklan tanpa permit di sekitar bandar raya dan memberi jaminan bahawa tindakan yang diambil adalah berdasarkan peraturan sedia ada.


“Sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), DBKK hanya menjalankan tanggungjawab untuk memastikan peraturan dipatuhi oleh semua secara telus.


“Langkah ini penting bagi mengekalkan persekitaran bandar raya yang tersusun, bersih dan bebas daripada lambakan iklan yang tidak terkawal demi kepentingan seluruh komuniti,” katanya.


Dalam pada itu katanya, beberapa inisiatif turut ditawarkan bagi memudahkan proses mendapatkan lesen iklan, antaranya penyebaran maklumat melalui media sosial rasmi, penerangan semasa proses permohonan lesen perniagaan dan penyediaan talian khas untuk pertanyaan berkaitan.


Sehubungan itu, DBKK menyeru kerjasama semua pihak bagi memastikan pemasangan iklan dilakukan mengikut prosedur sah agar persekitan bandar raya kekal harmoni, kemas serta teratur.


Untuk maklumat lanjut atau permohonan rayuan berkaitan lesen iklan, orang ramai boleh menghubungi Jabatan Pelesenan (Bahagian Iklan) DBKK di talian 088-521800.

Comentarios


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page