PEMBANGUNAN INFRASTRUKTUR DAN UTILITI LUAR BANDAR TERUS DIBERI KEUTAMAAN
- Wartawan Nabalu News
- Nov 12, 2020
- 1 min read

12 Nov 2020
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan terus memberikan keutamaan kepada pembangunan infrastruktur dan utiliti di luar bandar.
Yang Di-Petua Negeri Sabah Tun Juhar Haji Mahiruddin berkata, ini termasuklah peningkatan liputan jalanraya, penyediaan bekalan air bersih dan terawat, penambahbaikkan sistem pengangkutan awam, penyediaan sistem pembentungan, penyediaan bekalan elektrik serta kemudahan pelabuhan and logistik yang efisien.
Beliau berkata, pada masa sama, selaras dengan perkembangan sektor pertanian, Kerajaan Negeri akan memberi penekanan kepada dasar jaminan bekalan makanan serta keselamatan makanan.
“Kerajaan Negeri akan memastikan bekalan makanan adalah mencukupi untuk menampung keperluan rakyat. Sektor pertanian akan diperkukuhkan lagi dengan penggunaan teknologi moden bagi meningkatkan produktiviti, serta meningkatkan jaminan dan kualiti bekalan makanan.

“Pembangunan dan penyelidikan (R&D) akan diteruskan dalam sektor ini seperti pembangunan program pendigitalan bagi mempercepatkan sistem penyampaian maklumat kepada kumpulan sasar, latihan, akreditasi dan program berkaitan Amalan Pertanian Terbaik,” katanya.
Katanya lagi, kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada peningkatan pengeluaran hasil perikanan, pengurusan sumber perikanan dengan lebih cekap, berkesan dan mapan.
“Peningkatan pengeluaran makanan berasaskan ternakan yang berkualiti tinggi di samping meningkatkan tahap keselamatan makanan serta peningkatan pendapatan penternak juga diberi tumpuan.
“Kerajaan Negeri akan terus memberi perhatian kepada sektor pertanian supaya dapat membangun seiring dan saling melengkapi dengan sektor-sektor pertumbuhan yang lain,” katanya.















Comments