top of page

Pembangunan infrastruktur, ekonomi jadi keutamaan Sabah - Tun Musa

  • nabalunews
  • Mar 31
  • 2 min read

31 Mac 2026


KOTA KINABALU: Pembangunan infrastruktur dan pengukuhan ekonomi kekal menjadi keutamaan kerajaan Sabah dalam usaha memacu kemajuan negeri ini secara menyeluruh.


Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, berkata Sabah memperlihatkan perkembangan memberangsangkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya dalam sektor ekonomi, pelaburan dan pembangunan infrastruktur.


Menurutnya pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi memperkukuh asas ekonomi negeri menerusi pemerkasaan sektor utama termasuk pertanian, pelancongan, perindustrian serta ekonomi berasaskan sumber.


“Usaha menarik pelaburan domestik dan asing turut dipergiatkan bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan merangsang pertumbuhan mampan.


“Pembangunan infrastruktur asas seperti pembinaan dan penaiktarafan jalan raya, sistem bekalan air bersih serta kemudahan bekalan elektrik yang stabil perlu terus diberi penekanan,” katanya.


"Usaha ini amat penting bagi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara di samping merancakkan pertumbuhan ekonomi dan memperkukuh jaringan perhubungan antara bandar dan luar bandar,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam perutusan khas sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Sabah bersempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-75 beliau di Istana Seri Kinabalu, di sini pada Isnin.


Tun Musa berkata, pembangunan prasarana yang terancang dan berdaya tahan akan menjadi pemangkin kepada kemajuan negeri secara menyeluruh, sekali gus memastikan tiada komuniti tercicir daripada arus pembangunan.


Selain itu, katanya, aspek pendidikan dan pembangunan modal insan turut diberi penekanan bagi melahirkan generasi muda yang berilmu, berkemahiran tinggi serta berdaya saing selaras dengan keperluan pasaran kerja semasa.


“Pembangunan modal insan berkualiti merupakan asas utama dalam memastikan Sabah mampu bersaing dan terus maju,” katanya.


Beliau turut menegaskan kepentingan sektor kesihatan dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui penyediaan kemudahan perubatan berkualiti serta perkhidmatan kesihatan menyeluruh.


Dalam pada itu, katanya transformasi digital dalam perkhidmatan awam juga sedang diperkasa sebagai sebahagian langkah utama meningkatkan kecekapan dan ketelusan penyampaian kepada rakyat.


Pada masa sama, Tun Musa menekankan bahawa aspek integriti dalam perkhidmatan awam perlu terus diperkukuh bagi membina pentadbiran yang dihormati dan diyakini rakyat.


"Integriti bukan sekadar slogan, tetapi merupakan nilai teras yang mencerminkan kejujuran, ketelusan dan komitmen dalam melaksanakan amanah.


"Akauntabiliti dan ketelusan dalam pengurusan kewangan negeri amat penting bagi memastikan setiap peruntukan yang dibelanjakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.


"Setiap keputusan perbelanjaan hendaklah dibuat secara teliti, berpandukan prinsip tadbir urus yang baik serta mengambil kira keberkesanan dan impak jangka panjang," katanya.


Mengakhiri perutusan, beliau menyeru seluruh rakyat negeri ini agar terus memelihara perpaduan demi kestabilan dan kemajuan Sabah.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page