top of page

Pembangunan negara perlu kerjasama dan peranan semua rakyat: Ewon

  • nabalunews
  • 1 hour ago
  • 2 min read

12 Ogos 2026


PENAMPANG: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah Datuk Ewon Benedick berkata, pembangunan negara memerlukan kerjasama dan peranan semua rakyat negara ini tanpa mengira latar belakang, kaum, agama, bahasa dan budaya.


Beliau berkata, pengisian sempena Bulan Kebangsaan seperti Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) bukan sahaja menjadi platform untuk menyemarakkan semangat patriotik, tetapi turut memupuk semangat kekitaan dan kerjasama dalam kalangan masyarakat.


“Negara ini adalah milik kita semua dan setiap kita mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang memberi peluang kepada rakyatnya membina kehidupan yang selesa.


“Tanpa kesatuan, perpaduan, keharmonian dan persefahaman antara rakyat yang terdiri daripada pelbagai suku, etnik, agama, bahasa, kebudayaan dan adat resam, sudah tentu tidak mudah untuk kita membina dan membangunkan negara ini,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah Peringkat Daerah Penampang Tahun 2026 di Buhavan Square, di sini, hari ini.


Menurut Ewon, penyertaan dalam Kembara Merdeka Jalur Gemilang di peringkat daerah Penampang bukan sahaja melibatkan jabatan dan agensi kerajaan, malah turut disertai semua lapisan Masyarakat termasuk pertubuhan, pemimpin masyarakat, komuniti penjaja dan peniaga kecil di Tamu Donggongon dan pemilik premis perniagaan.


Katanya, penglibatan pelbagai lapisan masyarakat itu menunjukkan semangat kebersamaan yang penting dalam membina sebuah negara yang aman, harmoni dan maju.

“Saya percaya pengisian seperti ini dapat menerapkan semangat kekitaan dan semangat patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat dan komuniti, sama ada yang berkhidmat dengan kerajaan, berniaga sendiri ataupun bekerja dalam pelbagai sektor.


“Saya melihat semua kebersamaan itu ada di Penampang pada hari ini dan saya doakan agar kebersamaan ini dapat dikekalkan selama-lamanya,” katanya.


Dalam pada itu, Ewon turut mengalu-alukan penyertaan golongan belia dalam program dan inisiatif sempena Bulan Kebangsaan, termasuk usaha mengisi kemerdekaan dengan aktiviti yang membawa kepada kemajuan ekonomi, minda, semangat dan kerjasama.


Beliau berkata golongan belia mempunyai tanggungjawab besar untuk meneruskan legasi kemerdekaan yang diwariskan oleh generasi terdahulu.


“Golongan belia hari ini menikmati pembangunan negara selepas merdeka dan sudah tentu mereka perlu memikirkan apa peranan mereka.


“Tanggungjawab dan peranan mereka sangat besar untuk meneruskan legasi kemerdekaan dengan mengisi kemerdekaan ini melalui pelbagai aktiviti yang mengarah kepada kemajuan ekonomi, kemajuan minda, kemajuan semangat dan kerjasama sesama belia daripada pelbagai suku, etnik, agama dan budaya,” katanya.

Katanya, hubungan dan silaturahim dalam kalangan belia daripada pelbagai latar belakang perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan keharmonian masyarakat dapat diwariskan kepada generasi akan datang.


“Kalau belia tidak dapat mengeratkan silaturahim sesama belia daripada pelbagai latar belakang suku, bahasa dan etnik, tidak mudah untuk negara ini diteruskan.


“Sebab itulah kita mengadakan sambutan Bulan Kebangsaan dan Bulan Kemerdekaan seperti ini untuk menerapkan apa yang diwariskan oleh bapa-bapa kemerdekaan dan pengasas negara ini kepada golongan belia.


“Apabila mereka dewasa nanti, mereka mempunyai tanggungjawab besar untuk mewariskannya pula kepada anak-anak atau generasi berikutnya,” katanya.


Sehubungan itu, Ewon berkata penyertaan golongan belia dalam program kemerdekaan perlu terus digalakkan, bukan hanya sebagai peserta dalam acara sambutan, tetapi sebagai generasi yang memainkan peranan aktif dalam mengisi kemerdekaan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page