Pembangunan rumah-rumah ibadat di Penampang akan terus diberi perhatian: Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pembangunan rumah-rumah ibadat di Penampang akan terus diberi perhatian: Ewon


Carl bersama sebahagian umat Gereja St.Benedict Timpangoh Laut.

3 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick berkata, keperluan dan pembangunan rumah-rumah ibadat di kawasan Penampang akan terus diberi perhatian selain perhatian kepada pembangunan-pembangunan lain.


Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi mengulangi komitmennya untuk terus bekerja keras menyediakan peruntukan pembangunan untuk manfaat penduduk Penampang.


Sebagai wakil rakyat Penampang, saya akan berusaha memastikan pembangunan dan keperluan penduduk di sini terus diberi perhatian. Jaminan saya kepada penduduk Penampang ialah bekerja keras ‘membubut’ peruntukan pembangunan.


“Pembangunan yang kita rancang termasuklah keperluan gereja. Pada April lalu, saya telah menyampaikan sumbangan RM50,000 kepada Holy Nativity Parish Terawi Penampang bagi menjayakan sambutan Pesta Kaamatan Peringat Diosis kota Kinabalu yang disertai 23 paroki seluruh diosis Kota Kinabalu,” katanya.



Beliau berkata demikian dalam teks ucapan sempena Sambutan Kaamatan Gereja St.Benedict Kg.Timbangoh Laut, Penampang, di Balai Umat St.Benedict, baru-baru ini.


Teks ucapannya disampaikan oleh Setiausaha Politik Menteri, Carl Moosom.


Ewon yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, kesemua keperluan pembangunan di kawasan Penampang akan dimasukkan dalam Pelan Pembangunan Penampang yang kini sedang dilaksanakan oleh Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS).


Katanya, pelan pembangunan itu akan memudahkan kerajaan dan pemimpin merancang serta melaksanakan semua projek pembangunan di Penampang seterusnya menjadi rujukan kepada Rancangan Pembangunan Malaysia dan Rancangan Pembangunan Sabah akan datang.


Mengenai pembangunan keusahawanan, beliau berkata, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) mempunyai 10 agensi yang kesemuanya memberi khidmat sokongan perniagaan kepada para usahawan, koperasi, penjaja dan peniaga kecil-kecilan dari segi pembiayaan atau latihan keusahawanan.


“Antaranya SKM, Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Institut Koperasi Malaysia (IKMA), Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), SME Bank, SME Corp, Bank Rakyat, Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) dan UDA Holdings.


“Saya mengalu-alukan penduduk kampung terutamanya usahawan, bakal usahawan, koperasi, peniaga dan penjaja kecil-kecilan di kawasan ini yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai pembiayaan itu boleh berkunjung ke Pejabat Pusat Khidmat Ahli Dewan Rakyat Penampang atau melayari laman web kementerian,” katanya.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page