Pembangunan Sabah, Sarawak terus diberi keutamaan di bawah RMK12 Pembangunan Sabah, Sarawak terus diberi keutamaan di bawah RMK12
top of page
  • nabalunews

Pembangunan Sabah, Sarawak terus diberi keutamaan di bawah RMK12


27 Sept 2021


KUALA LUMPUR: Pembangunan Sabah dan Sarawak akan terus diberi keutamaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).


Ini selari dengan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan isu berhubung tuntutan kedua-dua negeri itu berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika membentangkan rancangan lima tahun bermula 2021 hingga 2025 di Dewan Rakyat hari ini berkata, ini termasuk keperluan infrastruktur asas, kawal selia gas dan elektrik serta aspek pendigitalan dan keselamatan.


Perdana Menteri, ketika menyentuh fokus ketujuh RMK12 iaitu usaha melonjakkan pembangunan Sabah, Sarawak dan negeri-negeri kurang membangun berkata penyediaan infrastruktur asas akan diperluas dengan membina jambatan dan menaik taraf 1,400 kilometer (km) jalan berturap luar bandar serta menyiapkan pembinaan 1,150 km Lebuhraya Pan Borneo.


“Usaha mengurangkan jurang pembangunan ekonomi antara negeri, antara wilayah serta antara bandar dan luar bandar akan terus diberi tumpuan. Usaha melonjakkan pertumbuhan negeri kurang membangun, terutama Sabah dan Sarawak akan dipergiat.


“Ia bermatlamat untuk mempercepatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang perlahan di negeri Kedah, Kelantan, Perlis, Sabah, Sarawak dan Terengganu serta mengurangkan kadar kemiskinan, terutama di Sabah, Kelantan dan Sarawak,” katanya.


Ismail Sabri berkata, peruntukan berjumlah RM7.7 bilion iaitu RM3.61 bilion kepada Sabah dan RM4.09 bilion kepada Sarawak disediakan bagi pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) sepanjang tempoh RMK12, yang diyakini dapat meningkatkan liputan jalur lebar.


Mengenai aspek penjagaan kesihatan, beliau berkata, dalam RMK12, perkhidmatan berkenaan akan dapat dipertingkat dengan siapnya Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sabah dan Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sarawak, selain pembinaan 26 klinik baharu di kedua-dua negeri itu.


“Selain itu, pembinaan rumah baharu dan pembaikan rumah daif di bawah program bantuan rumah akan memberi manfaat kepada 26,000 isi rumah miskin di Sabah dan Sarawak,” katanya.


Bagi menjamin keselamatan dan meningkatkan hubungan ekonomi dengan Kalimantan, Indonesia, Perdana Menteri berkata pos kawalan sempadan yang baharu di Manalunan, Simanggaris dan Kalabakan, Sabah, akan dibina, manakala Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu dan Serikin, Sarawak akan dinaik taraf.


Selain itu, projek jalan dari sempadan Ba'kelalan/Kompleks Kastam, Immigresen dan Kuarantin (CIQ) menghala ke Lawas akan dimulakan pembinaan pada 2022, katanya.


Dalam usaha mentransformasi kawasan luar bandar, Perdana Menteri berkata aktiviti ekonomi yang mempunyai nilai tambah yang tinggi akan dirancakkan melalui platform e-dagang, pertanian pintar dan industri luar bandar, manakala infrastruktur luar bandar akan dipertingkat dengan membina dan menaik taraf 2,800 km jalan berturap.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page