top of page
  • nabalunews

PEMBERIAN SUNTIKAN VAKSIN DI PPV DITAMBAH BAIK: DR.ROSE NANI


Dr Rose semasa sesi wawancara bersama media.

16 Julai 2021


KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) melipatgandakan usaha pemberian vaksin Covid-19 di Sabah.


Pengarahnya, Dr Rose Nani Mudin berkata, seramai 26,000 kakitangan JKNS di seluruh negeri dan sumber kelengkapan telah tersedia dalam menjayakan usaha tersebut.


"Selain itu, proses vaksinasi juga ditambah baik dengan menggandakan pemberian suntikan vaksin di setiap Pusat Pemberian Vaksin (PPV).


"Bagi melancarkan proses vaksinasi di PPV pula, pemeriksaan klinikal akan diringkaskan manakala pemeriksaan fizikal hanya diberikan kepada responden yang mempunyai aduan kesihatan sahaja.


"Kami berharap agar penambahbaikan ini dapat mempercepatkan usaha untuk menyasarkan 80 peratus rakyat Sabah menerima suntikan vaksin secepat mungkin," katanya semasa Sesi Wawancara Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah bersama Media di sini, pada Khamis.


SUASANA... antara suasana semasa Dr Rose ditemubual media.

Dalam pada itu, beliau berharap semua kakitangan JKNS sentiasa menjaga kesihatan mental dan fizikal serta keselamatan diri terutamanya ketika bertugas di pedalaman.


"Kakitangan yang mempunyai sebarang masalah perlu berjumpa dengan pegawai yang bertanggungjawab bagi mengelak ia menjadi semakin parah seterusnya menjalankan tugas secara berpasukan.


"Kerja berpasukan juga amatlah dititikberatkan sesama kakitangan terutamanya ketika berhadapan keadaan yang mencabar pada masa kini," katanya lagi.


Dr Rose memegang jawatan Pengarah JKNS bermula 13 Julai 2021 menggantikan Datuk Dr Christina Rundi yang sebelum ini menjawat jawatan Pengarah Kesihatan Sabah sejak 2012.


Beliau merupakan anak jati Sabah dan telah berkhidmat di Semenanjung Malaysia selama hampir 30 tahun (1992 – 2021) dengan jawatan terakhir beliau sebagai Timbalan Pengarah (Penyakit Berjangkit) di ibu pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. - PENERANGAN

Comments


bottom of page