Pembersihan parit di Kg Lomunu Kibabaig atasi masalah penduduk
- nabalunews
- Jul 25, 2024
- 1 min read

25 Julai 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
PENAMPANG: Kerja pembersihan parit giat dilaksanakan di Kampung Lomunu Kibabaig di Penampang susulan aduan yang diterima dari penduduk kampung berhubung masalah saliran air.
Bagi memastikan kerja pembersihan itu berjalan lancar tanpa banyak masalah, Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen, Bryan Matasing, melakukan tinjauan lapangan bagi memantau kerja-kerja pembersihan parit itu.
Turut serta dalam tinjauan ini adalah kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah (JPS) Penampang serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kampung Kibabaig, Alphonsus Untala.
Masalah saliran air di Kampung Lomunu Kibabaig menjadi isu yang dibangkitkan penduduk setempat. Aduan berhubung masalah ini telah disampaikan kepada Pejabat Parlimen Penampang.
Berdasarkan aduan tersebut, pihak JPS telah mengambil tindakan segera dengan memulakan kerja-kerja memulihkan saliran yang tersumbat, melibatkan kerja mengorek parit untuk melancarkan aliran air bagi mengatasi masalah banjir serta air bertakung yang sering berlaku di kawasan tersebut.
Tinjauan lapangan yang dilakukan oleh Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen bersama pihak JPS dan JKKK memberikan mesej yang jelas bahawa nasib rakyat marhaen tidak pernah dipinggirkan, malah kebajikan masyarakat sentiasa diberikan perhatian dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh penduduk.
Dengan adanya kerja-kerja pembersihan dan pemulihan saliran parit ini, adalah diharapkan masalah saliran air di Kampung Lomunu Kibabaig dapat diselesaikan sekaligus meningkatkan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
Comentários