top of page

Pembiayaan Ar-Rahnu X’Change cecah RM1.9 bilion, tahun 2024: Ewon

  • nabalunews
  • Aug 31
  • 2 min read

Ewon bergambar bersama kesemua wakil koperasi yang menerima Anugerah Ar-Rahnu X’Change 2024.
Ewon bergambar bersama kesemua wakil koperasi yang menerima Anugerah Ar-Rahnu X’Change 2024.

31 Ogos 2025


KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, pembiayaan perniagaan francais Ar-Rahnu X’Change mencatatkan jumlah keseluruhan RM1.9 bilion pada tahun 2024.


Beliau berkata, ia sekaligus membuktikan potensi besar produk pajak gadai Islam itu dalam pasaran mikro kredit negara.


“Saya melihat model perniagaan francais Ar-Rahnu X’Change sebagai salah satu program Bank Rakyat yang berjaya melaksanakan peranan dan mandatnya untuk membangunkan koperasi di negara ini menerusi model perkongsian pengalaman dan kepakarannya dalam operasi perniagaan Ar-Rahnu sejak tahun 1993.

ree

“Saya optimis perniagaan francais Ar-Rahnu X’Change berpotensi sebagai jenama mikro kredit pilihan di negara ini.


“Prestasi sepanjang tahun 2024 yang mencatatkan pengeluaran pembiayaan berjumlah RM1.9 bilion menggambarkan konsistensi permintaan produk pajak gadai Islam ini dan ini merupakan satu peluang perniagaan yang perlu dipertimbangkan oleh koperasi untuk diceburi,” katanya

ree

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Ar-Rahnu X’Change 2024, di Le Meridien, di sini, semalam.


Ewon berkata, empat koperasi di Sabah mengendalikan lima rangkaian francais Ar-Rahnu X’Change di sekitar Kota Kinabalu dan Sandakan.

ree

“Bermula dengan kejayaan Koperasi Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (KOPEKS) sebagai koperasi pertama di negeri ini dan menyertai francais Ar-Rahnu X’Change sejak tahun 2010, tiga buah koperasi lain iaitu Koperasi Pekerja Yayasan Sabah Berhad, Koperasi Pembangunan Usahasama Masyarakat Maju Sabah dan Koperasi Pembangunan Tanah Sungei Kelayak Berhad turut mengembangkan perkhidmatan mikro kredit bimbingan Bank Rakyat di Sabah,” katanya.


Katanya lagi, KOPEKS sedang dalam usaha mengembangkan perniagaannya dengan pembukaan francais Ar-Rahnu X’Change ketiganya di Tawau.

ree

Beliau berkata, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bersama dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan terus menyokong perusahaan Ar-Rahnu di kalangan koperasi.


“Saya juga telah memberi jaminan untuk terus mengambil inisiatif bersesuaian berkaitan aktiviti Ar-Rahnu di kalangan koperasi supaya tahap kompetitifnya sama dengan perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat,” katanya.

ree

Ewon berkata, kejayaan koperasi memberi manfaat bukan sahaja kepada pemimpin tetapi juga kepada lebih 7.2 juta anggota koperasi di seluruh negara.


“Selain Ar-Rahnu X’Change, saya turut berharap agar Bank Rakyat terus membangunkan program lain yang bersesuaian untuk berkongsi pengalaman dan kepakarannya dalam membangunkan perniagaan koperasi di negara ini,” katanya.

ree

Beliau menyeru semua koperator di negara ini sentiasa komited dan bersikap proaktif membangunkan institusi koperasi di negara ini, seiring Dasar Koperasi Malaysia (DaKoM) 2030.


Ar-Rahnu X’Change kini disertai oleh 42 buah koperasi termasuk empat koperasi di Sabah.

ree

Turut hadir Pengerusi Rakyat Management Services Sdn. Bhd Haji Mohd Jafri Kudus, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat Ahmad Shahril Mohd Shariff, Ketua Pegawai Eksekutif, Rakyat Management Services Sdn. Bhd (RMS) Haji Mohamad Azwani Asa’d, Ahli Lembaga Pengarah, RMS dan pengurusan Francaisi Ar-Rahnu X’Change.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page