top of page
nabalunews

Pembinaan 7,243 MyKiosk Dalam Tempoh Dua Tahun Ubah Nasib Lebih 7,000 Keluarga - Nga




6 Disember 2024


SUBANG JAYA : Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata inisiatif MyKiosk telah membantu 7,243 keluarga di 133 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara untuk meningkatkan pendapatan serta memperkasakan taraf sosioekonomi penduduk setempat.


“Rekod tertinggi MyKiosk apabila ada perniaga mendapat RM30,000 sebulan dan banyak lagi cerita memberangsangkan.


"Ini terbukti dalam tempoh dua tahun sahaja kita berjaya mengubah nasib lebih 7,000 keluarga dan memberi manfaat kepada 35,000 anak Malaysia,” katanya pada sidang media selepas merasmikan MyKiosk 2.0 di Tapak Niaga Roundabout @ PutraHeights di sini pada Khamis, lapor Bernama.


Menurutnya, Pembinaan 7,243 MyKiosk itu telah diluluskan dalam tempoh dua tahun oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT).


Kor Ming berkata pada tahun ini kerajaan telah menyediakan peruntukan tambahan RM100 juta bagi pembinaan 4,054 unit kiosk untuk 93 pihak berkuasa tempatan (PBT) manakala pada tahun lepas sebanyak RM50 juta untuk 3,189 unit kiosk.


Sementara itu Nga berkata Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menerima 12 unit MyKiosk yang diserahkan kepada peniaga terpilih daripada 35 peniaga sedia ada di Tapak Niaga Roundabout@Putra Heights.


“Ia merupakan salah satu projek placemaking MBSJ yang telah dirasmikan pada 2 Februari lalu yang bertujuan mengubah kawasan hijau yang terbiar menjadikan hab perniagaan setempat yang kondusif dan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat,” katanya.


Nga berkata setiap unit MyKiosk 2.0 akan dilengkapi dengan tenaga solar berkapasiti 1,000 watt dan peralatan elektrik seperti kipas dan lampu diod pemancar cahaya (LED) untuk memberikan kemudahan serta keselesaan kepada peniaga.


Beliau berkata JKT juga sedang mengkaji inisiatif MyKiosk tersebut sebelum pihaknya mengemukakan untuk melaksanakan MyKiosk 3.0 yang lebih hebat dan menarik kepada Kementerian Kewangan pada tahun hadapan.

Comments


bottom of page