top of page
nabalunews

Pembinaan jejantas melintasi landasan kereta api diberi keutamaan




23 November 2024


PUTATAN: Pembinaan jejantas pejalan kaki melintasi landasan kereta api di Petagas, dekat sini, diberi keutamaan susulan insiden pejalan kaki dirempuh kereta api ketika cuba melintas landasan Selasa lalu.


Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata kemudahan itu disasar dapat meningkatkan tahap keselamatan pengguna yang kini terpaksa mencari alternatif lain apabila menyeberang landasan keretapi.


Katanya pembinaan jejantas itu sudah lama dirancang, namun belum dapat dilaksanakan sehinggalah dimasukkan sebagai projek keutamaan dalam Belanjawan Sabah 2025, menurut laporan Info X.


Katanya, projek jejantas yang dirancang itu adalah untuk menyambung struktur jejantas sedia ada yang ketika ini hanya melintasi jalan raya utama, manakala landasan kereta api yang terletak bersebelahan tidak dilengkapi kemudahan itu.


“Dalam Belanjawan Negeri Sabah 2025 yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Rabu, perancangan untuk membina jejantas di kawasan itu turut dimasukkan.


“Jadi, saya minta keutamaan diberikan kepada pembinaan jejantas ini dalam waktu yang terdekat,” katanya ditemui selepas menziarahi ahli keluarga mangsa kemalangan kereta api di Kampung Muhibbah, Petagas, di sini, pada Jumaat.


Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan, berkata lawatan berkenaan sebagai tanda prihatin beliau atas musibah yang menimpa keluarga terbabit.


Hadir sama memberi sumbangan kepada keluarga mangsa ialah Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Datuk Che Murad Sayang; Pengarah Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS), Ir Mohd Safri Abdul Habi; Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, Jais Asri dan Pegawai Penerangan Daerah Putatan.


Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari, Selasa lalu, seorang wanita dari Kampung Muhibbah, Petagas maut, manakala anaknya parah selepas dirempuh kereta api ketika cuba melintas landasan dengan berjalan kaki.


Ketika kejadian, mangsa yang menjemput anaknya pulang dari Sekolah Kebangsaan (SK) Petagas, dikatakan tidak menyedari kedatangan kereta api yang bergerak dari arah pekan Putatan ke Tanjung Aru.


Ketiadaan jejantas melintasi kawasan landasan kereta api memaksa pejalan kaki di kawasan itu menggunakan laluan di lintasan rata yang agak jauh, selain laluan tikus di antara pagar landasan yang terdedah.


Ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah baru-baru ini, Shahelmey memaklumkan pembinaan jejantas pejalan kaki melintasi landasan kereta api di Petagas antara yang dilaksanakan di bawah peruntukan RM63.61 juta bagi tahun depan selain dua projek kajian berkaitan pembangunan kereta api di Sabah.


“Bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan kereta api, sebanyak RM63.61 juta diperuntukkan kepada Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) tahun depan.


“Selain dua projek berbentuk kajian yang disebutkan Menteri Kewangan dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada Jumaat lalu, peruntukan ini juga untuk menampung beberapa pelaksanaan projek dan perolehan.


“Ia membabitkan perolehan enam ‘Diesel Multiple Unit (DMU) Powered Cars (PC) serta perolehan seunit lokomotif dan dua unit DMU Non-Powered Cars (NPC).


“Seterusnya ialah projek pembinaan enam perhentian kecil di sektor Kinarut – Sembulan untuk perkhidmatan komuter dan sebuah jejantas pejalan kaki di Petagas,” katanya.


Beliau berkata, peruntukan bagi tahun depan itu juga digunakan untuk pembaikan cerun dan tebing sungai di sektor Gorge Line Beaufort – Tenom.

Comments


bottom of page