Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak siap 96.6 peratus, dijangka siap hujung tahun ini

16 Ogos 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
MIRI: Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata bahawa Lebuhraya Pan Borneo dijangka siap sepenuhnya pada bulan Disember tahun ini.
Beliau berkata, sehingga kini, pembinaan lebuhraya tersebut telah mencapai 96.6 peratus.
“Secara keseluruhannya, Lebuhraya Pan Borneo ini telah siap 96.6 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada bulan Disember tahun ini.
“Apabila lebuhraya ini siap kelak, ia akan membawa impak yang positif kepada rakyat Sarawak dari segi sosioekonomi, kehidupan dan perjalanan darat di sepanjang jalan raya di negeri ini,” katanya kepada media selepas melawat tapak Projek Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak.
Dalam pad aitu, beliau turut mengakui bahawa kontraktor menghadapi kelewatan dalam menyiapkan projek lebuhraya tersebut akibat pandemik Covid-19.
“Namun begitu, kontraktor telah berjaya menyiapkan projek ini dalam tempoh yang mencabar terutamanya semasa pandemik Covid-19 melanda. Tetapi, sekarang kita telah dapat melihat perkembangan Lebuhraya Pan Borneo ini sendiri dengan usaha yang dilakukan bersama pihak kerajaan dan kontraktor yang bertanggungjawab,” jelasnya lagi.
Uggah, yang juga merupakan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, mendedahkan bahawa pihaknya telah diberi taklimat mengenai strategi untuk menyiapkan projek mengikut jadual yang ditetapkan dan melihat kawasan yang perlu dibaiki untuk persediaan kedatangan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke Lebuhraya Pan Borneo bulan depan.
“Kita telah pergi seluruh Lebuhraya Pan Borneo dan ia memang pengalaman menarik. Kita nampak apa yang telah siap dan belum siap. Justeru itu, kita diberi taklimat mengenai strategi untuk memastikan yang belum siap akan disiapkan mengikut jadual yang mereka tentukan.
“Pada masa sama kita melihat mana-mana tempat yang perlu dibaiki. Difahamkan juga Yang di-Pertuan Agong akan ke Lebuhraya Pan Borneo bulan depan. Jadi kita hendak memastikan kawasan yang perlu dibaiki akan dinaik taraf,” tambahnya lagi.
ความคิดเห็น