top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pembuat sigar, pakaian tradisi etnik Sabah disaran tubuh koperasi

Ewon, Rosliah dan Pegawai Daerah Penampang Francis Chong bergambar bersama peserta.

28 April 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, sigar atau pakaian tradisional masyarakat momogun Kadazandusun Murut Rungus (KDMR) boleh dijadikan produk usahawan luar bandar untuk meningkatkan pendapatan penduduk kampung.


Sehubungan itu Ahli Parlimen Penampang itu mengalu-alukan pembuat sigar atau pakaian tradisional etnik Sabah menubuhkan koperasi.

“Saya melihat produk inovasi Sigar boleh dijadikan sebahagian daripada aktiviti keusahawanan penduduk tempatan.


“Oleh itu saya mengalu-alukan penduduk Kampung Buayan atau kampung-kampung lain yang mengusahakan inovasi sigar atau pakaian tradisi menubuhkan koperasi pakaian tradisional bukan hanya KDM tetapi etnik-etnik lain di Sabah, kerana ia mendapat sambutan amat menggalakkan terutamanya pada bulan Mei setiap tahun,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan penutupan Kursus Membuat Sigar Inovasi anjuran Program Bahasa Kadazandusun, Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di Kg.Buayan, di sini, semalam.

Ewon berharap pembuat sigar dan baju tradisi etnik-etnik Sabah dapat menyahut cabaran menubuhkan koperasi bagi memudahkan kementerian menyalurkan pembiayaan yang bersesuaian.


Sementara itu Pengarah Program yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI Dr.Rosliah Kiting berkata, kursus itu bertujuan membantu melestarikan khazanah pembuatan sigar sebagai warisan bangsa.

Dr.Rosliah

Selain itu katanya, ia juga membantu memperkaya penghasilan kraftangan dalam kalangan penduduk yang boleh dijadikan sebagai produk keusahawanaan.


“Sigar merupakan salah satu pelengkap pakaian tradisi beberapa etnik Sabah untuk kaum lelaki, namun budaya ini semakin luntur kerana kesedaran dan pengetahuan berkaitan kepentingan pelengkap pakaian ini semakin luntur.


“Selain itu, harga untuk satu sigar mencapai ratusan ringgit juga antara sebab ramai individu tidak mampu memiliki sigar,” katanya.

Antara peserta muda yang menyertai kursus itu.

Dr.Rosliah berkata, berdasarkan kajian yang dilaksanakannya di 37 buah kampung di Tuaran, hanya 11 kampung mempunyai penduduk memiliki sigar.


“Oleh itu timbul idea saya untuk menganjurkan kursus seumpama ini. Sehingga kini kita telah melatih lebih 2,000 pembuat sigar di seluruh Sabah.


“Kita juga mendapati pemilikan sigar dalam kalangan etnik Sabah kurang daripada 10 peratus.


Sehubungan itu kursus ini amat penting untuk membimbing masyarakat membuat sigar dengan kos yang murah dan mampu dimiliki semua lapisan masyarakat,” katanya dan menambah kursus itu disertai seramai 45 peserta.


Sebagai penghargaan kepada peserta yang menyertai kursus itu, Ewon menyampaikan sumbangan sebanyak RM4,500 iaitu RM100 setiap satu inovasi sigar yang dihasilkan oleh peserta.


Antara sigar yang berjaya disiapkan oleh para peserta.

Comments


bottom of page