Pembukaan kampus INSKEN Sarawak, Sabah selari fokus tambahan untuk Malaysia Timur - Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pembukaan kampus INSKEN Sarawak, Sabah selari fokus tambahan untuk Malaysia Timur - Ewon

Ewon ketika ditemui pemberita selepas majlis itu.

1 Oktober 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUCHING: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, pembukaan kampus baharu Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) di Sarawak selari fokus tambahan untuk Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak).


Beliau berkata, Kampus INSKEN Sarawak adalah cawangan kedua, selepas pembukaan Kampus INSKEN di Sabah pada Mei lepas dan ibu pejabat di Cyberjaya Selangor.

 

“Sebelum tertubuhnya Kampus INSKEN Sarawak sememangnya INSKEN telah pun mengadakan pelbagai latihan dan program keusahawanan di Sarawak melibatkan 63 program dan sehingga kini jumlah keseluruhan peserta daripada Sarawak seramai 2784 orang dari tahun 2020 hingga tahun ini.


“Manakala pada tahun ini, kita telah mengadakan 27 program di Sarawak setakat ini yang telah memberi manfaat kepada 865 orang dan INSKEN akan terus menganjurkan latihan ataupun program bimbingan keusahawanan tahun ini.

Ewon (tiga dari kanan), Suriani (tiga dari kiri), Firdaus (dua kanan), Zamri dan Afifah memotong reben sebagai simbolik perasmian Kampus INSKEN Sarawak.

“Saya berharap dengan adanya kampus baharu ini, usahawan di Sarawak boleh mengambil bahagian daripada program-program yang disediakan,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kampus INSKEN di Sarawak Plaza Shopping Complex, di sini, hari ini.


Ewon berkata, pembukaan Kampus INSKEN di Sarawak juga bertepatan dengan usaha kementerian untuk memperkasa lebih ramai usahawan di negeri ini.


“Saya berharap dengan adanya cawangan ini lebih ramai usahawan dan bakal usahawan di Sarawak merebut peluang mengikuti program latihan dan bimbingan yang disediakan oleh INSKEN,” katanya.

 

Kampus INSKEN Sarawak dilengkapi bilik latihan yang boleh memuatkan 30 peserta dalam satu masa. Fasiliti lengkap yang disediakan memainkan peranan penting dalam mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pembelajaran dan pembangunan usahawan selain kos efektif untuk menjalankan program latihan dan bimbingan.

 

Terdahulu, ketika berucap pada majlis itu Ewon berkata, kelebihan Kampus INSKEN di Sarawak adalah lokasi strategik di bandar memudahkan aksesibiliti kepada semua usahawan dan peserta program daripada kawasan sekitar.


“Ia juga memudahkan kerjasama bersama pihak berkepentingan tempatan, seperti agensi dan badan kerajaan.


“INSKEN sememangnya dikenali sebagai agensi yang progesif dalam memperkasa usahawan di Malaysia. Keputusan bijak untuk membuka cawangan seterusnya di Sarawak bertepatan dalam memajukan ekosistem keusahawanan di Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak).


“Ini membuktikan faktor lokasi bukanlah menjadi penghalang untuk usahawan di Sarawak mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

 

Katanya lagi, Kementerian dan agensi sentiasa peka dengan keperluan usahawan termasuk pandangan yang diberikan pada sesi dialog bersama pemain industri Sabah dan Sarawak yang dijalankan baru-baru ini.


“Antara cadangan yang diberikan adalah supaya lebih banyak latihan keusahawanan bukan sahaja untuk koperasi tetapi usahawan kecil termasuk mikro dan informal dianjurkan di Sabah dan Sarawak.

“Hasilnya kini INSKEN sudah mula bertapak di kedua-dua negeri ini bagi terus membantu usahawan di sini,” katanya.

 

INSKEN menyediakan pelbagai program latihan dan bimbingan untuk usahawan, antaranya Program INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC), INSKEN Start-Up Coaching, Program Bimbingan Pembangunan Produk dan Program Bimbingan Keuntungan Menu.


Ewon berkata, setakat September 2023, INSKEN telah menjalankan sebanyak 27 program latihan dan bimbingan di Sarawak dan seramai 865 peserta daripada Sarawak telah mendapat manfaat program.

“Dalam masa yang sama, INSKEN juga aktif menjalankan enam klinik usahawan di Sarawak seperti di Miri, Lundu, Kapit, Betong, Sarikei dan Sibu. Sejumlah 225 peserta menerima konsultasi percuma dalam sesi klinik usahawan yang dialankan,” katanya.


Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato' Sri Suriani Dato' Ahmad, Timbalan Setiausaha kementerian Datuk Zamri Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN Muhd Firdaus Azharuddin dan Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak Datu Haji Abdul Hadi Haji Abdul Kadir.

bottom of page