Pembukaan sesi sekolah: Apa pendapat warga pendidik?Pembukaan sesi sekolah: Apa pendapat warga pendidik?
top of page
  • Writer's pictureIlona Andrew

Pembukaan sesi sekolah: Apa pendapat warga pendidik?


Gambar hiasan

19 Sept 2021

Oleh Ilona Andrew


KOTA KINABALU: Pembukaan sesi sekolah di kala kes jangkitan Covid-19 masih direkodkan dalam angka yang besar sudah tentu akan menjadi kerisauan bukan sahaja kepada ibubapa, malah juga warga pendidik.


Pada masa yang sama, ketiadaan sesi persekolahan secara bersemuka dalam jangka masa yang panjang dikhuatiri akan membantut proses pembelajaran murid-murid.


Pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bahawa sekolah akan dibuka secara berperingkat mulai Oktober 3 mengundang pelbagai reaksi, terutama dari ibubapa yang risau akan keselamatan anak mereka.


Namun, apakah pandangan warga pendidik?


Seorang guru yang telah berkecimpung dalam bidang pendidikan selama 11 tahun berpandangan bahawa oleh kerana sekolah akan dibuka secara berperingkat bermula dari murid Tingkatan Enam, ini sepatutnya tidak membawa sebarang masalah dengan syarat pelajar telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.


Fiona Chang, guru di SMK Bongawan berkata, tidak ada masalah buat pelajar Tingkatan Enam untuk kembali ke sekolah memandangkan rata-rata mereka sudah menerima vaksin..


Bagi murid berumur 13 sehingga 17 tahun pula, tidak lama lagi mereka dapat kembali ke sekolah dengan selamat memandangkan program vaksinasi sudah mulai dilaksanakan secara 'walk-in' pada masa ini.

Fiona Chang

"Sebaik-baiknya, sebelum sekolah dibuka, pelajar-pelajar yang berumur 12 hingga 17 tahun harus divaksin dan kemungkinan besar, pusat vaksinasi perlu juga dibuka di sekolah agar pelajar dapat menerima imunisasi tanpa perlu mengalami kesesakan di pusat pemberian vaksin (PPV).


"Jika 80 peratus pelajar sekolah menengah ini dapat menerima vaksin, saya berpendapat bahawa tidak ada masalah untuk sekolah menengah dibuka. Apa-apa pun, prosedur operasi standard (SOP) di sekolah masih perlu diperbaiki dan diperhalusi," katanya ketika dihubungi Nabalu News, hari ini.


Menurut Fiona, jika kadar vaksinasi pelajar tidak mencapai peratusan yang membanggakan dan sekolah tetap dibuka, kemungkinan jangkitan di kalangan pelajar adalah amat besar.


Katanya lagi, walaupun beliau sokong akan arahan KPM bahawa kehadiran pelajar hanya 50 peratus secara bersilih-ganti, ini sudah tentu akan menambah berat beban pihak sekolah kerana terpaksa melakukan pelbagai penggubalan.


Manakala, pelajar tadika yang berumur empat hingga enam tahun di negari dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Tiga akan ke mula bersekolah tanpa penggiliran.


Ujar Fiona, ini sudah tentu akan mencetus kebimbangan para guru dan ibubapa kerana kanak-kanak masih belum boleh menerima vaksin.


Tambahnya, ia juga agak sukar untuk menjangka apa yang akan berlaku kepada kanak-kanak tadika walalupun terdapat pelaksanaan SOP.


Sementara itu, seorang guru yang berasal dari Lahad Datu berkata pembukaan sekolah rendah dan tadika wajar ditangguh buat sementara waktu ini.

Siti Noor Ashidah

Seperti Fiona, Siti Noor Ashidah berpendapat bahawa kadar vaksinasi di sesebuah sekolah menengah (murid berumur 12 atau 13 sehingga 17 tahun) perlu mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus bagi mengelak tercetusnya jangkitan di kalangan pelajar.


"Saya sebenarnya lebih suka mengajar dalam kelas fizikal dan saya amat rindu untuk bertemu murid-murid saya. Namun, kes kematian Covid-19 yang dilaporkan setiap hari masih sangat merisaukan, terutama sekali apabila kes kematian di kalangan remaja dan kanak-kanak semakin meningkat.


"Lagipun, apabila sekolah dibuka selepas hampir kesemua murid telah menerima vaksin, kita boleh mengelak penutupan sekolah secara berkala seperti yang pernah berlaku pada bulan Mac lalu akibat jangkitan Covid-19," kata guru Sains itu.


Walau bagaimanapun, beliau risau jika bebanan guru akan bertambah apabila sekolah dibuka kelak kerana kelas akan diadakan secara penggiliran.


Ulasannya, besar kemungkinan tugas-tugas guru akan bertambah kerana silibus pengajaran yang sama terpaksa diadakan sebanyak dua kali bagi satu kelas.


"Sebenarnya, saya amat mengalu-alukan penggiliran kehadiran murid ke sekolah. Ia merupakan langkah terbaik untuk memastikan murid dapat kembali ke sekolah dan merasai semula suasana bersekolah.


"Saya akui pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) itu adalah amat sukar kerana bukan sahaja terdapat pelbagai kekangan di rumah, malah ibubapa juga terpaksa mengambil peranan sebagai 'guru kedua' di rumah dan sudah pastinya ini amat membebankan.


"Walaupun saya risau bahawa bebanan guru akan bertambah, saya sedia menjalankan tanggungjawab itu kerana inilah amanah yang digalaskan kepada warga pendidik. Apa yang penting adalah keselamatan dan kesihatan murid-murid terjamin."

Gambar hiasan

Sementara itu, seorang lagi guru yang hanya mahu dikenali sebagai 'Wong' berpendapat bahawa sudah tiba masanya murid-murid kembali ke sekolah setelah hampir dua tahun mengadakan sesi pembelajaran secara maya.


Wong berkata, mengambil kira keadaan semasa pandemik Covid-19 di negara ini, pembukaan sekolah di negeri yang mempunyai kes jangkitan yang agak rendah wajar dibuka dengan adanya pelaksanaan SOP yang ketat.


Walaupun ini bermaksud kesihatan pelajar diperjudikan, beliau yakin KPM akan melaksanakan inisiatif yang terbaik demi perkembangan pendidikan di negara.


"Jika kita terus tutup sekolah, sebaliknya masa depan murid-murid pula yang akan diperjudikan. Lagipun, saya percaya KPM akan tampil dengan usaha dan langkah yang lebih baik dalam masa terdekat agar sekolah dapat dibuka dengan selamat.

Gambar hiasan

"Saya amat mengalu-alukan usaha kerajaan untuk memberi vaksin kepada murid berumur 12 hingga 17 tahun, dan saya berharap tidak lama lagi kanak-kanak bawah 12 tahun juga dapat divaksinasi."


Menurut Wong, apa yang penting sekarang adalah peranan ibubapa untuk mendapatkan vaksin untuk anak mereka sebelum kembali ke sekolah.


"Begitu juga warga pendidik yang enggan menerima vaksin; saya menggesa agar mereka pergi mendapatkan vaksin demi keselamatan anak murid mereka serta diri mereka sendiri."


bottom of page