top of page

KPDN Laksana Operasi Pemeriksaan

  • nabalunews
  • 6 hours ago
  • 1 min read


15 Mei 2025 


SANDAKAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Sandakan melaksanakan operasi pemeriksaan mengejut di Pasar Basah Sibuga, Batu 8, di sini, semalam.


Operasi berkenaan dijalankan susulan aduan awam yang tular mengenai penjualan ikan busuk di pasar berkenaan.


Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah KPDN Sandakan, Azdy Zukkry John berkata, pemeriksaan dilakukan oleh sepasukan pegawai penguat kuasa KPDN dan melibatkan semakan mengikut beberapa akta yang dikuatkuasakan.

Katanya, antara undang-undang dilaksanakan ialah, Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011 iaitu memastikan peniaga meletakkan penandaan harga ke atas barangan yang dijual kepada pengguna.


“Selain itu, turut dikuatkuasakan Akta Perlindungan Pengguna 1999 untuk menilai sekiranya terdapat elemen penipuan terhadap pengguna berkaitan kualiti barangan.


“Pemeriksaan turut dijalankan mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972 untuk memastikan alat timbangan digunakan secara tepat dan betul,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, semalam.

Azdy berkata, hasil pemeriksaan mendapati penandaan harga ada dipamerkan oleh peniaga kepada pengguna manakala alat timbang yang digunakan masih dalam tempoh sah dan berkeadaan baik. 


Katanya, peniaga juga diberikan nasihat serta amaran lisan agar memastikan barangan yang dijual segar selain mematuhi undang-undang yang berkaitan yang dikuatkuasakan.


"Pemeriksaan serta pemantauan oleh KPDN Sandakan akan diteruskan dari masa ke semasa.

“Orang ramai juga boleh menyalurkan aduan aduan atau pertanyaan melalui  e-aduan.kpdn.gov.my, telefon 089668107 (KPDN Sandakan) atau Whatsapp : 019-848 8000 (Aduan Pengguna),” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page