Yayasan Kosma Hulur Bantuan Persekolahan kepada Murid SK Stella Maris, Tanjung Aru
- nabalunews
- 2 hours ago
- 2 min read

15 Mei 2025
KOTA KINABALU: Seramai 342 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Stella Maris, Tanjung Aru, menerima sumbangan beg dan kelengkapan persekolahan menerusi inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Yayasan Kosma dengan kerjasama Persatuan Keusahawanan Cekap Sabah (PKCS), hari ini.
Bantuan disampaikan Pengerusi Yayasan Kosma, Datuk Zamri Mohamed, dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di sekolah berkenaan.
Zamri berkata, sumbangan itu mencerminkan matlamat KOSMA untuk membantu semua lapisan masyarakat tanpa sebarang jurang.

Katanya, walaupun Yayasan Kosma berpangkalan di Pahang, namun pihaknya tetap komited menyokong usaha murni Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam memperluas jaringan bantuan ke seluruh negara.
“Hari ini, kami melaksanakannya di Sabah dan ia menandakan komitmen inklusif kami terhadap perpaduan masyarakat.
“Yayasan Kosma memperuntukkan kira-kira RM5 juta setiap tahun bagi menyokong inisiatif seperti ini di seluruh negara menggunakan dana yang diperoleh daripada sumbangan cukai.
“LHDN menerima ribuan permintaan setiap hari dan tidak mampu memenuhi kesemuanya. Justeru itu, mereka bekerjasama dengan yayasan seperti kami,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan berkenaan.
Dalam pada itu, Datuk Zamri turut memuji kepimpinan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, atas pendekatan turun padang yang nyata memberikan impak positif dalam memperkasa koperasi dan inisiatif masyarakat di seluruh negara.
Sementara itu, Pengerusi PKCS, Dennison R Indang, pula mengetengahkan cabaran kemiskinan bandar yang unik di kawasan seperti Tanjung Aru.
Katanya, jumlah keluarga dari golongan B40 yang dicatatkan di kawasan ini agak tinggi berbanding tempat lain.
“Di Pulau Gaya contohnya, lebih 95 peratus isi rumah tergolong dalam kategori B40. Kemiskinan bandar adalah lebih kompleks dan berpanjangan. Pendidikan merupakan alat paling berkesan untuk menamatkan kitaran ini.
“Apabila keluarga mengalami kesempitan kewangan, kadar keciciran sekolah akan meningkat. Matlamat kami adalah untuk memutuskan kitaran itu dan memberi motivasi kepada para pelajar.
“Saya sendiri merupakan hasil daripada inisiatif seperti ini, jadi saya tahu betapa besar kesannya,” katanya.
Comments