Pemerkasa PLUS: RM3.4 juta diperuntuk 6,821 pemandu pengangkutan awam Sabah, Labuan
6 September 2021
Oleh Marryan Razan
KOTA KINABALU: Seramai 6,821 orang pemandu pengangkutan awam di Sabah dan Labuan yang berdaftar di bawah Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah menerima bantuan one-off sejumlah RM3.4 juta.
Pengerusi LPKP Sabah Dato’ Chin Kim Hiung berkata, pembayaran bantuan one-off sebanyak RM500 seorang di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA Plus) bertujuan membantu mereka yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.
“Pembayaran untuk Fasa 1 melibatkan 6,496 orang pemandu pengangkutan awam di Sabah dan Labuan telah disalurkan bermula 27 Julai lalu melibatkan peruntukan sebanyak RM3.2 juta.
“Manakala pembayaran Fasa 2 kepada 325 orang pula akan mula disalurkan Selasa ini (7 September) melibatkan peruntukan sebanyak RM162,000,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Chin berkata, daripada 325 orang pemandu yang akan menerima bantuan Fasa 2, seramai 198 orang pemandu teksi dan kereta sewa melibatkan peruntukan RM99,000, pemandu E-Hailing seramai 79 orang (RM39,500), pemandu bas sekolah 40 orang (RM20,000) dan lapan pemandu bas pelancong (RM4,000).
“Selepas pembayaran PEMERKASA Plus Fasa 2 ini selesai, bermakna jumlah keseluruhan yang diperuntukan oleh kerajaan bagi menjaga kebajikan seramai 6,821 orang pemandu pengangkutan awam di Sabah dan Labuan adalah sebanyak RM3.4 juta,” katanya.
Beliau berkata, jumlah peruntukan yang besar ini menunjukkan kerajaan tidak pernah mengabaikan nasib pemandu pengangkutan awam di Sabah dan Labuan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.
Comments