Pemerkasaan fungsi DUN tuntut hak Sabah antara agenda utama Rosdy di Tanjung Keramat
- nabalunews
- 2 days ago
- 1 min read

22 November 2025
KOTA KINABALU: Pemerkasaan fungsi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menuntut hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menjadi antara agenda utama calon Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) bagi kerusi DUN Tanjung Keramat, Rosdy Wasli.
Beliau berkata, pemerkasaan DUN adalah langkah penting supaya suara wakil rakyat Sabah dapat membawa kedudukan negeri ini kembali kepada mandat asal MA63, khususnya dalam isu-isu yang masih belum ditunaikan.
“Saya mohon mari bersama saya untuk bersuara di dewan undangan membawa amanat nenek moyang kita tentang Perjanjian Malaysia, tentang hak kita yang masih ada diputrajaya.

“Kita bukan mahu bermusuh dengan Putrajaya cuma ingin hak ditunaikan sebagaimana termaktub dalam perjanjian itu,” katanya.
Selain memperkasakan fungsi DUN, beliau turut menekankan kebajikan keluarga, penyelesaian masalah setempat dan pembangunan komuniti sebagai keutamaan dalam senarai empat agendanya untuk Tanjung Keramat.
Menurutnya, banyak aduan diterima daripada penduduk sekitar Putatan, namun keterbatasan kuasa menyebabkan pelbagai isu berlarutan tanpa penyelesaian menyeluruh.
“Jika saya menang kali ini, kita ada kuasa membawa suara warga Tanjung Keramat dan suara itu didengar,” ujarnya.
Agenda ketiga memberi fokus kepada peranan beliau sebagai perantara antara rakyat dan agensi kerajaan untuk memastikan isu setempat seperti infrastruktur, perumahan dan kemudahan asas dapat diurus secara lebih cepat dan berkesan.
Sementara itu, penyediaan kemudahan rekreasi untuk anak muda turut diberi keutamaan dalam membentuk gaya hidup sihat serta menggalakkan aktiviti sukan dan riadah di peringkat komuniti.
Dalam pada itu, Rosdy berkata rekod lima tahun beliau bekerja di belakang tabir membantu masyarakat selama ini menunjukkan komitmennya yang konsisten bekerja untuk rakyat.
Katanya, kemenangan di Tanjung Keramat akan memberi ruang lebih besar untuk beliau meneruskan perkhidmatan dengan mandat yang jelas.


















Comments