top of page

Pemetaan Budaya Etnik 2026-2030 jamin kelestarian identiti Sabah

  • nabalunews
  • Apr 13
  • 1 min read

13 April 2026


TUARAN: Kerajaan Sabah akan melaksanakan pembangunan Pemetaan Budaya Etnik 2026-2030 bagi memastikan khazanah kepelbagaian etnik dan budaya di negeri ini didokumentasikan secara sistematik.


Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, inisiatif itu merupakan langkah proaktif kerajaan dalam memartabatkan warisan negeri selaras dengan aspirasi pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).


“Pembangunan negeri perlu bergerak seiring antara kemajuan ekonomi dan pemeliharaan identiti budaya tempatan agar warisan tersebut tidak hilang ditelan zaman.


“Usaha pendokumentasian secara sistematik ini amat penting sebagai rujukan masa hadapan, dan kita bukan sahaja harus berbangga dengan identiti yang diwarisi sejak turun-temurun, malah perlu berusaha mengekalkannya terutama dalam mendepani era globalisasi yang mencabar,” katanya.


Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Karnival Pendidikan Adat Budaya Borneo Kali ke-4 di Pusat Latihan Guru Sekolah Adat, Kampung Lumawang, di sini pada Ahad.


Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Mohd Kassim Razali.


Menurut Hajiji, selain inisiatif pemetaan tersebut, peranan institusi seperti Sekolah Adat Anak Negeri Sabah amat signifikan dalam memulihara dan mempromosikan warisan merangkumi bahasa ibunda, amalan adat serta tarian tradisi.


Sehubungan itu katanya, penganjuran karnival itu menjadi platform penting untuk memperkenalkan serta menyemai rasa cinta terhadap warisan budaya dalam kalangan generasi muda.


“Ia juga berperanan memupuk semangat muhibah dan persefahaman dalam kalangan rakyat majmuk, bukan sahaja di Sabah malah di seluruh Kepulauan Borneo,” katanya.


Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Sekolah Adat Anak Negeri Sabah dan Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) atas jalinan kerjasama strategik dalam menjayakan agenda pemerkasaan budaya negeri.


Karnival yang berlangsung selama tiga hari bermula 10 April itu turut menampilkan pengisian pendidikan adat serta pameran 21 rumah etnik yang mempamerkan keunikan tradisi masing-masing.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page