Pemilihan JKKK di Kadamaian berjalan lancar - Ewon
- nabalunews
- 3 hours ago
- 2 min read

11 Februari 2026
KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick berkata proses pemilihan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan Kadamaian berjalan lancar dan teratur.
Beliau berkata, sebaik menerima mandat baharu di Kadamaian, komitmen telah dibuat untuk mengadakan pemilihan di peringkat kampung bagi memberi peluang kepada penduduk memilih sendiri Pengerusi JKKK dan Ketua Kampung pilihan mereka.
“Selepas pegawai Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kadamaian dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dilantik, saya mengarahkan supaya proses pemilihan pengerusi JKKK dilaksanakan secara menyeluruh bermula daripada pengemukaan pencalonan sehingga pembuangan undi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Keusahawanan dan Pengangkutan berkata, UPPM Kadamaian bertindak sebagai urusetia pemilihan, dan proses itu bermula pada 6 Februari dan dijadualkan berakhir pada 21 Februari 2026.
“Setakat ini, sebanyak 31 kampung berjaya melaksanakan pemilihan, manakala 25 buah kampung lagi akan meneruskan proses tersebut mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata pemilihan di dua buah kampung terpaksa ditangguhkan berikutan kesusahan yang berlaku di kampung berkenaan dan akan dilaksanakan selepas tempoh berkabung selesai.
Dalam pada itu, Ewon berkata, pemilihan di 17 buah kampung tidak melibatkan pertandingan kerana hanya seorang calon mengemukakan pencalonan, sekali gus menang tanpa bertanding.
Beliau merakamkan penghargaan kepada PPM Kadamaian, seluruh urusetia UPPM serta penduduk kampung yang terlibat kerana memberi kerjasama dan mengambil bahagian dalam proses demokrasi di peringkat akar umbi.
“Dalam masa terdekat, Ketua Daerah, Ketua-Ketua Anak Negeri dan Wakil-Wakil Ketua Anak Negeri DUN Kadamaian yang baharu akan menerima watikah pelantikan sebelum mengendalikan pemilihan Ketua Kampung di semua kampung di kawasan ini,” katanya.
Ewon berkata, selain Kadamaian, wakil rakyat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Tamparuli dan Moyog juga melaksanakan pemilihan Pengerusi JKKK.
Katanya, inisiatif itu merupakan sumbangan UPKO dalam memperkukuh proses dan amalan demokrasi di peringkat kampung, selaras dengan komitmen yang dibuat semasa kempen pilihan raya.
“Ini adalah sebahagian daripada semangat Sabah First yang terus kami perjuangkan demi pembangunan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.


















Comments