top of page

Pemilihan JKKK DUN Moyog perlu berpaksi suara rakyat – Donald

  • nabalunews
  • 51 minutes ago
  • 1 min read

17 Januari 2026


PENAMPANG: Pemilihan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog perlu berpaksikan suara rakyat setempat serta selari dengan aspirasi dan hala tuju pembangunan Kerajaan Sabah.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog, Datuk Donald Peter Mojuntin berkata pendekatan itu penting bagi memastikan tadbir urus di peringkat akar umbi dapat dilaksanakan secara berkesan demi kemajuan dan kesejahteraan seluruh penduduk di kawasan berkenaan.


Menurut beliau, ketetapan tersebut dicapai hasil perbincangan dan kesepakatan bersama Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick, sebagai komitmen bersama untuk memperkukuh sistem pentadbiran dan kepimpinan kampung.


“JKKK bukan sekadar struktur pentadbiran, sebaliknya merupakan barisan hadapan kepimpinan rakyat di peringkat kampung.


“Justeru, proses pemilihannya perlu dilaksanakan secara telus, berhemah dan berasaskan penerimaan penduduk setempat, bukannya didorong oleh kepentingan sempit mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.


Beliau berkata kepimpinan kampung yang berkesan ialah kepimpinan yang menyokong serta mampu menggerakkan aspirasi kerajaan di peringkat akar umbi.


Tambahnya, kepimpinan yang dibentuk turut berperanan sebagai penghubung antara rakyat dan kerajaan bagi memastikan dasar serta hala tuju negeri dapat diterjemahkan dan dilaksanakan secara berkesan.


“Ahli JKKK yang dipilih bukan sahaja perlu memiliki integriti, berkhidmat secara aktif serta berupaya menyatukan komuniti, malah komited merancang pembangunan kampung secara tersusun dan inklusif,” ujarnya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page