top of page

Pemilihan JKKK Kadamaian perkukuh konsep kerajaan desa - Salleh

  • nabalunews
  • 3 hours ago
  • 1 min read

16 Februari 2026


KOTA KINABALU: Proses pemilihan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian dilihat sebagai langkah positif memperkukuh konsep kerajaan desa serta kepimpinan berasaskan mandat rakyat.


Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak, berkata pendekatan itu wajar diberi pengiktirafan kerana membuka ruang kepada masyarakat memilih sendiri jawatankuasa kampung masing-masing.


Menurutnya, inisiatif berkenaan yang dilaksanakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, mampu memperkukuh peranan komuniti dalam menentukan kepimpinan di peringkat akar umbi.


“Memberi peluang kepada masyarakat memilih sendiri jawatankuasa kampung menguatkan konsep kerajaan desa dan kepimpinan berasaskan mandat rakyat.


"Apabila rakyat terlibat secara langsung, akauntabiliti menjadi lebih jelas dan keputusan yang dibuat lebih mencerminkan keperluan sebenar komuniti,” katanya menerusi hantaran di Facebook.


Salleh berkata, pendekatan itu juga merupakan contoh amalan baik dalam memperkasa penyertaan rakyat di peringkat akar umbi, sekali gus menyokong tadbir urus yang lebih inklusif dan responsif terhadap kehendak masyarakat setempat.


Ewon sebelum ini dilaporkan berkata, proses pemilihan yang bermula pada 6 Februari dan dijadual berakhir pada 21 Februari ini berjalan lancar serta teratur dengan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian bertindak sebagai urusetia.


Menurutnya, selain Kadamaian, wakil rakyat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Tamparuli dan Moyog juga melaksanakan pemilihan Pengerusi JKKK.


Katanya, inisiatif itu merupakan sumbangan UPKO dalam memperkukuh proses dan amalan demokrasi di peringkat kampung, selaras dengan komitmen yang dibuat semasa kempen pilihan raya.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page