top of page

Pemilihan Pengerusi JKKK Kadamaian Berjalan Lancar

  • nabalunews
  • 12 minutes ago
  • 1 min read

9 Februari 2026


KOTA BELUD: Pemilihan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) N11 Kadamaian bagi tahun 2026 berlangsung dengan lancar, tertib dan teratur di Dewan Serbaguna Kampung Puhus, Mukim Taginambur, di sini.


Program yang diadakan dari jam 2.00 petang hingga 4.00 petang itu mendapat sambutan baik daripada penduduk kampung yang hadir bagi menunaikan tanggungjawab memilih kepimpinan baharu di peringkat kampung.


Seramai tiga calon bertanding dalam pemilihan berkenaan, iaitu Amun Kabati, Holen Sayaman dan Nasip @ Jaundin Obok. Keputusan pengundian menyaksikan Holen Sayaman memperoleh undi tertinggi sebanyak 24 undi, diikuti Amun Kabati dengan 13 undi dan Nasip @ Jaundin Obok dengan 12 undi.

Amun Kabati dicalonkan oleh Bidin Puok dan disokong oleh Nasip Opok, manakala Holen Sayaman dicalonkan oleh Paulina Ongit serta disokong oleh Masna Goyi. Sementara itu, Nasip @ Jaundin Obok dicalonkan oleh Laisen @ Soutin Sageh dan disokong oleh Willie Spencer.


Proses pemilihan dijalankan secara telus dan mematuhi garis panduan yang ditetapkan, dengan penglibatan aktif penduduk kampung. Suasana sepanjang pemilihan berlangsung dalam keadaan aman dan harmoni, mencerminkan kematangan komuniti setempat dalam mengamalkan proses demokrasi di peringkat akar umbi.


Pemilihan tersebut dikendalikan oleh Pemaju Mukim Risin Sikin dan Pemaju Mukim Pinol Timun, serta diselia oleh Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO), Fandhy Rajin, dari Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat, Pusat Khidmat ADUN N11 Kadamaian.

Keputusan pemilihan ini diharap dapat memperkukuhkan kepimpinan JKKK Kampung Puhus bagi memastikan kebajikan serta pembangunan berterusan penduduk setempat terus dipelihara.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page