Pemilik Kedai Runcit Putaton Tindama peserta terbaik program INSKEN
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pemilik Kedai Runcit Putaton Tindama peserta terbaik program INSKEN


Ewon menyampaikan sijil kepada Emily, turut kelihatan Zamri (kiri) dan Firdaus (kanan).

26 November 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Pemilik Kedai Runcit Putaton Tindama, Penampang, Emily Bozou, dinobatkan sebagai peserta terbaik bagi INSKEN Bumiputera Coaching (IBBC) Grocery Store, program bimbingan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) di Sabah.


Selepas mengikuti program itu Emily berjaya meningkatkan jualan sebanyak 91 peratus.


Faktor yang mempengaruhi peningkatan hasil jualan adalah melalui komponen latihan teknikal perniagaan “Membina SOP untuk Perniagaan Peruncitan Kecil” yang diterima dalam tempoh empat bulan program berlangsung.


Beliau juga berjaya mengaplikasi tips penyusunan barangan secara strategik, teratur dan mengikut kehendak pelanggan. Selain itu, beliau turut berjaya memperbaiki pengurusan kewangan serta meluaskan jaringan pembekal barangan hasil daripada bimbingan daripada pakar industri.


Pencapaian peserta Program Bimbingan Keuntungan Menu Tahun 2023 juga tidak kurang hebatnya dengan peningkatan jualan dicatat sebanyak 38 peratus.


Ketika mengikuti program ini selama tiga bulan, Andreyani Mohd Jafar, pemilik Dapur Ibu Ann di Tawau telah didedahkan dengan kepentingan penetapan harga dengan margin bersesuaian dan pengiraan kos yang efektif dalam Bengkel Lanjutan Keuntungan Menu.



Bimbingan Keuntungan Menu yang dipelajari selama tiga bulan sahaja membolehkan beliau berkembang daripada aktiviti pemprosesan makanan kepada membuka warung di hadapan rumah dan seterusnya bakal membuka kafe di bandar Tawau.


Dua program bimbingan INSKEN iaitu IBBC dan Program Bimbingan Keuntungan Menu Tahun 2023 disertai 110 usahawan dari pelbagai daerah di negeri ini.


Lebih membanggakan, dua program bimbingan itu berjaya meningkatkan status lima usahawan daripada kategori mikro kepada perusahaan kecil.


Pencapaian program bimbingan INSKEN turut merekodkan 30 pekerjaan baharu melalui Program IBBC dan 28 peserta mempunyai medium penghantaran makanan baharu melalui Program Bimbingan Keuntungan Menu.


Majlis graduasi Program Bimbingan INSKEN disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.


Ewon berkata: “Pendekatan program INSKEN berkonsep daripada usahawan kepada usahawan iaitu INSKEN mengumpul barisan usahawan berpengalaman sebagai Industry Coach bagi membimbing usahawan lain dalam bidang kepakaran masing-masing secara one-on-one amat menarik.


“Pendekatan seumpama ini memberikan perkembangan positif melalui keberhasilan program yang dapat diukur pada akhir program dan ia terbukti membuahkan hasil menerusi peningkatan prestasi perniagaan mereka,” katanya.


Program bimbingan ini hasil kolaborasi Amanah Ikhtiar Malaysia(AIM) yang dijalankan pada pertengahan 2023 di Penampang, Semporna, dan Tawau. Manakala program IBBC Homestay pula adalah kolaborasi bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Pertubuhan Pengusaha Homestay Malaysia yang dijalankan di Kota Kinabalu.


“Kolaborasi seperti ini adalah langkah bijak dan sesuatu organisasi itu tidak seharusnya beroperasi secara bersendirian. Itulah fungsi kesemua agensi di bawah Kementerian, masing-masing mempunyai peranan yang saling melengkapi,” katanya.


Katanya lagi, pada tahun ini kementeriannya banyak memperoleh input-input secara terus melalui sesi libat urus yang diadakan dengan pihak-pihak berkepentingan seperti persatuan, dewan perniagaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), koperasi dan agensi-agensi kerajaan.


“Antara input yang banyak diterima adalah lebih banyak latihan dan bimbingan keusahawanan dianjurkan kepada usahawan kecil dan sederhana termasuk usahawan mikro dan informal di Sabah.


“Justeru pembukaan cawangan Kampus INSKEN Sabah yang dirasmikan pada Mei tahunini adalah langkah tepat dalam membantu usahawan serta kelangsungan perniagaan,” kata Ewon.


Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin berkata, pendekatan bimbingandaripada usahawan kepada usahawan ternyataberhasil.


“Usahawan dibimbing memperbaiki setiap komponen keusahawanan yang diperlukan termasukpengurusan perniagaan, pemasaran, pengiraan kos dan kewangan selain berpeluang mempelajari tips bergunadan amalan terbaikyang boleh dipraktiskan daripada bimbingan pakarindustry,” katanya.



photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page