Pemilik perusahaan sosial hargai komitmen Menteri KUSKOP tinjau aktiviti dan isu sektor SE
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pemilik perusahaan sosial hargai komitmen Menteri KUSKOP tinjau aktiviti dan isu sektor SE

Kiren memberikan taklimat ringkas mengenai akademi itu semasa kunjungan Ewon di pusat pembelajaran itu.

5 Februari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PETALING JAYA: Pemilik perusahaan sosial (SE) menghargai komitmen Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick meninjau aktiviti dan mendengar isuk-isu berkaitan sektor SE yang memerlukan perhatian kerajaan.


Pengarah Infinite Minds Academy Kiren Kaur berkata, ini adalah lawatan pertama menteri di akademi itu sejak mula beroperasi pada 2013.


“Saya sangat terharu dan teruja dengan kehadiran Datuk Ewon kerana sebelum ini belum pernah ada menteri melawat pusat akademi kami.


“Saya juga berterima kasih kepada Datuk Ewon kerana banyak memberikan motivasi dan sokongan kepada kami. Pemimpin seperti beliau memberikan sinar harapan kepada para pengusaha sosial yang berhadapan dengan cabaran selepas pandemik,” katanya ketika ditemui Nabalu News selepas lawatan Menteri KUSKOP itu, di pusat akademinya di sini, hari ini.

Kiren berkata, Infinite Minds Academy menjalankan program Teknologi Digital untuk golongan berkeperluan khas, untuk memperkasakan mereka memperoleh kemahiran yang diperlukan.


“Kami mahu memperkasakan remaja istimewa termasuk mereka yang menghidap Autisme, Disleksia, Sindrom Down, Slow Learners, Cerebral Palsy dan Pekak dan Bisu dengan program berasaskan kemahiran digital.


“Kami percaya hanya dengan kemahiran teknologi digital dapat membantu menaiktarafkan kehidupan mereka.


“Saya berpendapat, mereka sangat sesuai mengikuti program-program berasaskan teknologi digital kerana minda mereka memang lebih cenderung dengan kemahiran teknologi,” katanya.


Beliau berkata, kanak-kanak istimewa seharusnya diberi peluang untuk menonjolkan kreativiti mereka dengan menggunakan teknologi.

Ewon kagum melihat hasil-hasil kerja golongan berkeperluan khas.

“Golongan berkeperluan khas seperti mereka jarang diberi peluang yang adil sama ada di sekolah, komuniti atau tempat kerja kerana keterbatasan dan ketidakupayaan mereka.


“Melalui akademi ini, program kami distrukturkan secara khusus hanya untuk golongan Keperluan Khas misalnya, Pembangunan Animasi, Pembuatan Aplikasi, Reka bentuk Multimedia, kejuruteraan asas dan banyak lagi,” katanya.


Kiren berkata, ramai pelajar yang dilatih di akademi itu memperolehi pekerjaan dan selebihnya masih meneruskan pembelajaran ke peringkat lebih tinggi.


“Kami berjaya melatih dan membimbing mereka dengan program yang sesuai dan telah menyaksikan hasil yang menakjubkan. Hasil kerja mereka boleh dilhat dalam media sosial seperti Facebook dan Youtube Infinite Minds Academy.

Ewon melihat hasil kekreatifan golongan berkeperluan khas.

“Perancangan kami pada masa akan datang ialah membuka cawangan pusat pembelajaran di beberapa negeri yang akan dikenalpasti kemudian.


“Matlamat utama kami adalah untuk memastikan golongan istimewa ini dapat berdikari apabila memperoleh kemahiran,” katanya dan menambah golongan itu sering berhadapan kesukaran menyesuaikan diri di tempat kerja kerana ketidakupayaan untuk berkomunikasi dengan baik dan juga disebabkan penampilan atau batasan tertentu.

bottom of page