Pemimpin PH mahu jumpa PM untuk bincang soal MOU – Guan EngPemimpin PH mahu jumpa PM untuk bincang soal MOU – Guan Eng
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pemimpin PH mahu jumpa PM untuk bincang soal MOU – Guan Eng



19 Nov 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


MELAKA: Pemimpin Pakatan Harapan (PH) bercadang untuk bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, minggu hadapan bagi membincangkan Memorandum Persefahaman (MOU) yang dimeterai sebelum ini antara Kerajaan Persekuatan dengan PH.


Menurut Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pertemuan itu bertujuan untuk mengkaji semula memorandum persefahaman susulan isu ‘hadiah’ RM100 juta kepada mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang dibangkitkan di Dewan Rakyat semalam ketika sesi penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 peringkat dasar, oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.


"(Saya) telah pun berbincang dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mohamad Sabu semalam, kami bertiga bersetuju, ini tidak selari dengan MOU yang kita tandatangani dengan pihak Kerajaan Persekutuan.


"Kami bertiga buat keputusan untuk minta satu perjumpaan dengan Perdana Menteri mengenai perkara ini," katanya dalam sidang media di Melaka hari ini.


Dalam pada itu, beliau berkata, PH akan berbincang bersama parti-parti komponen PH sebelum membuat sebarang keputusan berkenaan pembentukan kerajaan sekiranya ketiga-tiga gabungan parti iaitu Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional dan PH gagal mendapat majoriti.


Sebelum ini Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan bahawa tarikh Pilihanraya Negeri Melaka ialah pada 20 Nov ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka pada 4 Okt lepas susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

bottom of page