Pemimpin wanita Warisan Papar isytihar keluar parti, sokong Peter AnthonyPemimpin wanita Warisan Papar isytihar keluar parti, sokong Peter Anthony
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pemimpin wanita Warisan Papar isytihar keluar parti, sokong Peter Anthony



16 Jan 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) terus menerima tamparan hebat selepas beberapa lagi pemimpin parti itu mengisytiharkan keluar parti berkuatkuasa hari ini dan menyokong Datuk Peter Anthony.


Exco Wirawati Negeri merangkap Ketua Wirawati Warisan Papar Roslizah Ibrahim dan Exco Wanita Negeri Anna Maria berserta ahli jawatankuasa (AJK) wirawati cawangan, AJK Bahagian berserta 24 cawangan berdaftar di Papar mengumumkan keluar Warisan.


Mereka juga turut mengumumkan untuk melepaskan semua jawatan berkuatkuasa hari ini (16 Januari 2022).


“Terima kasih kepada kepimpinan Parti Warisan dan seluruh ahli Warisan selama berada di landasan ini. Saya dengan sebulat suara menyokogn penuh keputusan Datuk Peter Anthony keluar parti Warisan dan menubuhkan parti baru berbilang kaum,” kata Roslizah menerusi video yang tular di media sosial, hari ini.



Sementara itu, Anna Maria yang juga Ketua Wanita Warisan Papar berkata, beliau bersama AJK Bahagian, AJK Wanita, Ketua Penerangan Wanita dan mantan Ketua Daerah, mantan Ketua Anak Negeri (KAN), mantan Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN), mantan MPKK, Pemaju Mukim, Kapitan Cina dan 24 cawangan berdaftar mengisytiharkan keluar Warisan.


“Saya juga mengisytiharkan perletakan semua jawatan dan berundur sebagai ahli Warisan berkuatkuasa hari ini.


“Kami dengan sebulat suara menyokong kepimpinan Datuk Peter selaku Presiden KDMR dan Datuk Juil Nuatim," katanya.


Pada 28 Disember 2021, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu mengumumkan keluar parti dan menubuhkan parti baharu mesra Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang memberi fokus kepada masyarakat Kadazan, Dusun, Murut (KDM) terutamanya di kawasan pedalaman.


Peter membuat keputusan itu bersama ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim.


Pada awal bulan ini, beberapa lagi pemimpin parti Warisan di Tenom, Sepanggar, Keningau, Matunggong Kota Marudu turut mengumumkan keluar parti dan memberikan sokongan penuh kepada Peter.


bottom of page