Pemindahan KKIA ke Kimanis: Cadangan baik tapi bukan keperluan mendesak
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pemindahan KKIA ke Kimanis: Cadangan baik tapi bukan keperluan mendesak


Billy Joe (kiri) dan Dr.Rizoh

1 Julai 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Cadangan pemindahan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ke Kimanis satu perancangan yang baik namun ia bukan keperluan mendesak pada masa kini.


Kebanyakan mereka yang ditemui Nabalu News memberikan reaksi berbeza dan berharap kerajaan lebih fokus kepada pembangunan infrastruktur lain yang lebih mendesak.


Seorang aktivis masyarakat Dr.Rizoh Bosorang berkata, Sabah ada keperluan pembangunan infrastruktur lain yang lebih mendesak, berbanding projek pemindahan KKIA yang sudah pasti menelan perbelanjaan bilion ringgit.


“Saya kurang setuju dengan cadangan itu sebab belum ada pembentangan KKIA sesak dan tidak boleh menampung kapasiti dalam 15 tahun akan datang.


“Selain itu, jarak yang agak jauh menambahkan lagi kos pengangkutan dari pusat bandaraya Kota Kinabalu, kecuali pengangkutan seperti monorel atau LRT turut dibina bersama sebagai pengangkutan utama,” katanya.


Rizoh berkata, Sabah memerlukan pembangunan infrastruktur lain secara menyeluruh sebagai keutamaan ketika ini, termasuklah jaringan jalan raya melalui projek Pan Borneo, Jambatan Menumbok ke Labuan, pembesaran Lapangan Terbang Tawau, penambahbaikan sistem pengagihan air terawat, meningkatkan sumber bekalan elektrik boleh dibaharui, meningkatkan kualiti dan kawasan capaian internet.


“Lebih baik berikan tumpuan kepada pembangunan infrastruktur yang lain daripada pemindahan lapangan terbang,” katanya.


Sementara itu Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Penampang Billy Joe Dominick berpendapat, relokasi KKIA satu pelan yang baik.


“Ini kerana kegiatan ekonomi di kawasan lapangan terbang baharu itu kelak akan turut berkembang seterusnya satu peluang terbaik untuk memperkembangkan sistem pengangkutan awam seperti E-hailing, teksi, bas, keretaapi dan mungkin LRT di Sabah pada masa hadapan,” katanya.


Bagaimanapun katanya ia bukan satu keperluan mendesak pada masa kini.


“Masa ini kita berhadapan dengan pelbagai cabaran terutamanya kenaikan kos sara hidup yang amat tinggi dan keadaan ekonomi yang tidak menentu.


“Usaha untuk memulihkan ekonomi sepatutnya perlu diutamakan, contohnya pemberian subsidi baja, dedak, racun rumpai kepada para petani dan penternak agar mereka boleh melipat gandakan pengeluaran hasil tani dan ternakan. Sekiranya penawaran melebihi permintaan saya fikir harga barangan boleh distabilkan,” katanya.


Billy Joe berkata, kerajaan juga perlu mengutamakan pembaikan dan penaiktarafan infrastruktur asas seperti elektrik, air, jalan raya dan internet untuk menarik lebih ramai pelabur asing untuk datang melabur di Sabah.


“Pelabur asing penting untuk memperbanyakkan lagi peluang pekerjaan berpendapatan tinggi di Sabah,” katanya dan menambah masalah bekalan air juga harus didahulukan kerana keadaan di beberapa tempat di Sabah yang masih mengalami catuan bekalan air amat menyedihkan.


Sehubungan itu katanya, pada masa ini kerajaan perlu fokus kepada usaha memulihkan ekonomi, relokasi lapangan terbang itu boleh dilakukan kemudian kerana lapangan terbang sedia ada masih mampu menampung jumlah penggunanya.


Bagi penduduk Kuala Penyu, Sarah Vincent, beliau menyambut baik cadangan pemindahan lapangan terbang tersebut kerana ianya akan mebawa pembangunan ekonomi yang positif di kawasan tersebut.


“Pada pendapat saya, jika lapangan terbang antarabangsa Kota Kinabalu dipindah ke Kimanis, sudah tentu ianya boleh meningkatkan ekonomi masyarakat di sana dan juga memberikan peluang pekerjaan baharu kepada anak-anak muda.


“Kimanis sudah tentu pesat membangun, dengan pembinaan lebih banyak hotel dan homestay yang baharu bagi para pengunjung yang tiba di sana,” katanya.


Bagaimanapun, katanya cadangan untuk memindahkan KKIA ke Kimanis itu juga akan memberi kesan terhadap penduduk yang tinggal jauh dari Kimanis.


“Kalau orang yang tinggal di Ranau atau Kota Marudu terpaksa memakan masa yang agak lama untuk ke lapangan terbang kerana jarak yang jauh,” katanya.


Dalam pada itu, ada juga yang berpendapat bahawa lapangan terbang Tawau sepatutnya dinaiktaraf kepada status lapangan terbang antarabangsa sebelum KKIA dipindahkan ke Kimanis.


“Sepatutnya, lapangan terbang di Tawau harus dinaiktaraf menjadi ‘International Airport’ kerana Kalimantan akan menjadi ibu kota Indonesia nanti. Pasti banyak manfaatnya kepada Sabah,” kata Mohd Azlan.


Mohd Azlan yang bekerja sebagai pemandu E-hailing juga berpendapat bahawa kerajaan seharusnya mengalihkan fokus kepada masalah rakyat, seperti membaiki dan menaiktaraf jalan-jalan di negeri ini, selain menaiktaraf sekolah yang sudah daif, menyelesaikan masalah bekalan air dan banjir.


Dalam laporan media kelmarin, Kerajaan Sabah menerusi cabang pelaburan strategiknya Qhazanah Sabah Bhd (QSB), memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pemaju hartanah Berjaya Land Bhd (BLand) untuk meneroka kemungkinan pemindahan KKIA ke Kimanis.


Menurut syarikat berkenaan, MoU itu merangkumi pemindahan KKIA yang membabitkan pembinaan dan pembangunan lapangan terbang antarabangsa baharu di Kimanis serta pelan pembangunan mampan di Kimanis atau mana-mana kawasan yang difikir sesuai oleh kerajaan Sabah.


"Sebuah syarikat tujuan khas akan melaksanakan projek yang dicadangkan selepas selesai kajian terperinci teknikal dan kemungkinan kewangan, pelan perniagaan strategik dan cadangan pemodelan kewangan yang akan dipersetujui kedua-dua pihak," kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page