Pemindahan teknologi langkah strategik perkasa pendidikan Sabah
- nabalunews
- Jan 9
- 1 min read

9 Januari 2026
KOTA KINABALU: Pemindahan teknologi dari luar negara khususnya dari China dilihat sebagai langkah strategik bagi memperkasakan pembangunan pendidikan, inovasi dan teknologi di negeri ini.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib berkata kementerian menyambut baik kerjasama antarabangsa yang melibatkan pemindahan teknologi berimpak tinggi bagi menyokong agenda pembangunan negeri secara menyeluruh.
“Inovasi adalah kuasa penggerak utama pembangunan Sabah, dan kerjasama erat antara kerajaan dan sektor swasta amat penting bagi merealisasikan agenda ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Terdahulu, beliau menerima kunjungan hormat daripada kepimpinan Dewan Perniagaan Sabah-China (SCCC) yang diketuai Presidennya, Datuk Frankie Liew, bersama Timbalan Presiden Brett Chua serta 14 delegasi, di sini.
James berkata, Sabah mengalu-alukan kerjasama strategik yang berpotensi dilaksanakan khususnya melibatkan inisiatif teknologi canggih termasuk kecerdasan buatan (AI) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Ia katanya, selaras dengan usaha membangunkan modal insan serta ekosistem teknologi negeri.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada SCCC di atas komitmen dan kesediaan mereka untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri demi memastikan masa depan Sabah yang lebih berdaya saing dan mampan.


















Comments