Pemodenan Pekan Ranau antara agenda utama Georgina
- nabalunews
- 20 minutes ago
- 1 min read

20 November 2025
KOTA KINABALU: Rancangan pemodenan Pekan Ranau menjadi antara teras utama manifesto calon Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan, Georgina George.
Dalam enam teras manifestonya ““Aspirasi Baru Karanaan”, Georgina bertekad membangunkan Pekan Ranau sebagai hab ekonomi dan destinasi pelancongan yang moden, tersusun serta mesra rakyat bagi merancakkan ekonomi tempatan.
Selain itu, beliau turut menekankan keperluan memperkasa infrastruktur asas termasuk di kawasan pekan dan kampung bagi memastikan penduduk menikmati kemudahan lebih baik dan selesa.

Dalam masa sama, pendigitalan DUN Karanaan juga menjadi keutamaan Georgina dengan cadangan peluasan capaian internet, penyediaan perkhidmatan digital serta kemudahan teknologi bagi memudahkan urusan harian dan membuka peluang ekonomi baharu.
Aspek kemakmuran ekonomi turut diberi perhatian dengan fokus kepada penggerakan peluang pekerjaan, sokongan kepada usahawan tempatan dan perancangan aktiviti ekonomi berasaskan komuniti.
Bagi pembangunan belia pula, beliau memberi tumpuan kepada usaha melahirkan belia berkemahiran melalui program latihan, mewujudkan kemudahan sukan, selain memberi galakan kepada industri e-sukan sebagai bidang pembangunan baharu.
Dalam pada itu, Georgina turut memberi jaminan untuk memperkasa golongan wanita dan warga emas agar kelompok tersebut menikmati sokongan, peluang dan kesejahteraan yang lebih baik.
“Manifesto ini dirangka sebagai komitmen untuk membawa perubahan yang progresif dan berpaksikan rakyat selaras dengan agenda Sabah First.
“Rakyat dan pengundi Karanaan adalah kekuatan yang akan merealisasikan enam teras utama perjuangan saya di DUN Karanaan,” katanya.














