top of page

Pemuda Gagasan Rakyat sokong kepimpinan Ketua Menteri

  • nabalunews
  • 5 minutes ago
  • 2 min read

ree

2 November 2025


KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat (Gagasan Rakyat) menyatakan sokongan padu dan tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Presiden Gagasan Rakyat dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS).


Pergerakan itu berkata, sokongan tersebut merupakan manifestasi keyakinan terhadap kepimpinan Hajiji yang disifatkan matang, berwibawa dan berpandangan jauh dalam memastikan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan kelangsungan agenda pembangunan negeri.


“Sehubungan itu, seluruh jentera dan kepimpinan Pemuda disemua peringkat digesa untuk memperteguh kesatuan saf perjuangan dan memberikan sokongan padu kepada kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor dalam mengemudi pentadbiran negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.


“Sokongan ini amat penting bagi memastikan segala agenda pembangunan rakyat, kesejahteraan sosial serta kemajuan Sabah dapat dilaksanakan secara konsisten, tersusun dan berkesan,” menurut pergerakan itu dalam satu kenyataan hari ini.


Pemuda Gagasan Rakyat menegaskan bahawa pimpinan Pemuda telah dan akan terus berperanan sebagai wadah utama menyuarakan aspirasi, harapan serta denyut nadi anak muda Sabah kepada kepimpinan tertinggi parti dan kerajaan.


Dalam masa sama, pergerakan itu turut menyatakan pendirian untuk sentiasa akur, patuh dan setia terhadap setiap keputusan kepimpinan parti demi menjamin kestabilan, keutuhan organisasi serta kelangsungan perjuangan membangunkan negeri dan membela nasib rakyat.


Pemuda Gagasan Rakyat juga merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh barisan Jemaah Menteri Negeri Sabah yang telah mengangkat sumpah pada Isnin.


“Kami menaruh penuh keyakinan agar barisan kabinet yang dilantik ini dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada penyelesaian isu-isu legasi rakyat secara menyeluruh dan tuntas, termasuk penambahbaikan serta peluasan inisiatif kebajikan dan kesejahteraan rakyat.


“Selain itu, pemerkasaan agenda wanita dan pembangunan anak muda, peningkatan kecekapan tadbir urus dan penggunaan sumber negeri secara berhemah serta terus konsisten mempertahankan dan memperjuangkan hak-hak Sabah selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.


Pergerakan Pemuda Gagasan Rakyat turut menyatakan keyakinan bahawa tempoh pentadbiran lima tahun ini akan membuktikan keupayaan Kerajaan GRS Plus untuk membawa Sabah ke arah sebuah negeri yang lebih maju, stabil, makmur dan berdaya saing, demi kepentingan rakyat dan masa depan generasi akan datang

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page