Pemuda PH, MUDA Sabah anjur perhimpunan aman di Gaya Street tuntut kerajaan tunai janji
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pemuda PH, MUDA Sabah anjur perhimpunan aman di Gaya Street tuntut kerajaan tunai janji


Felix (empat kiri) dan Billy Joe (lima kiri) bersama Pemuda PH dan Muda Sabah

3 Julai 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Pemuda Pakatan Harapan (PH) Sabah bersama MUDA Sabah mengadakan perhimpunan aman di Gaya Street pagi tadi, untuk menuntut kerajaan menunaikan beberapa perkara penting antaranya 40 peratus pemberian khas kepada Sabah.


Turut serta Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Felix Joseph Saang dan Pemuda UPKO yang lain.


“Awal pagi ini saya bersama Pemuda UPKO dan rakan-rakan Pemuda Pakatan Harapan Sabah serta Muda Sabah telah mengadakan Flash Mob di Gaya Street Sunday Market, Kota Kinabalu untuk menuntut keadilan, hak-hak dan kepentingan bagi wilayah Sabah.


“Kita juga menuntut agar kerajaan hari ini menyelesaikan isu-isu yang semakin memeritkan dan membebankan rakyat.

“Kita menyeru agar rakyat Sabah menolak parti-parti atau pemimpin-pemimpin yang mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa yang luar biasa.


“Generasi muda Sabahan harus berani bangkit dan berubah. Kita harus pastikan wilayah Sabah dan negara Malaysia kembali ke landasan yang tepat, adil dan saksama,” katanya kepada Nabalu News selepas perhimpunan itu, hari ini.


Felix turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak anggota keselamatan termasuk polis dan Rela yang bertugas.


Sementara itu Ketua Pemuda UPKO Penampang Billy Joe Dominick berkata, perhimpunan aman itu diadakan bagi mendesak kerajaan menurunkan harga barang, menolak rasuah dan berhenti menindas rakyat menggunakan polisi serta dasar yang membebankan rakyat.


Katanya, perhimpunan itu berjalan lancar tanpa sebarang insiden.


Perhimpunan aman itu berlangsung selama satu jam dari jam 7.30 pagi hingga 8.30 pagi dihadiri lebih 50 anggota Pemuda PH dan Muda Sabah.


Turut serta dalam himpunan itu Pengerusi Muda Sabah Amos Thien, Ketua DAPSY Kota Kinabalu Desmond Chan dan Ketua Pemuda PKR serta AMANAH.

bottom of page