Pemuda Umno gesa PPBM Sabah dibubar
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pemuda Umno gesa PPBM Sabah dibubar


Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Sabah Mohd Kurniawan Naim Moktar.

14 Mac 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Umno Sabah menggesa supaya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Sabah dibubar bagi menjamin kestabilan dan mengukuhkan kerajaan negeri demi kemakmuran rakyat.


Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Sabah Mohd Kurniawan Naim Moktar berkata, ini kerena kestabilan politik merupakan suatu asas yang siknifikan dalam pembentukan sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil daripada aspek ekonomi dan sosial.


Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kinabatangan berkata, Pilihan Raya Negeri Sarawak, Melaka dan Johor telah membentuk suatu kestabilan di dalam pentadbiran kerajaan negeri yang bebas daripada perselisihan politik.


“Saya berpendapat PPBM Sabah perlu dibubarkan bagi menjamin kestabilan dan pengukuhan kerajaan Negeri Sabah demi kemakmuran rakyat.


“Konflik dalaman yang diakibatkan oleh permainan politik di peringkat pusat untuk kelangsungan politik Perikatan Nasional (PN) akan menggangu gugat kestabilan dan keharmonian kerajaan GRS.


“Realiti memperlihatkan fakta yang jelas bahawa PPBM sedang dikuburkan di seluruh Malaysia sebagaimana di dalam PRN Melaka dan PRN Johor,” katanya dalam kenyataan melalui Facebooknya hari ini.


Mohd Kurniawan berkata, PPBM akan cuba mengukuhkan kedudukannya di Sabah agar tidak dikuburkan sepenuhnya sekiranya berlaku Pilihan Raya Umum Ke-15.


Katanya, keadaan itu akan menggugat kestabilan kerajaan GRS, terutama dalam perundingan kawasan Parlimen yang ditandingi menjelang PRU-15.


“Saya yakin ADUN-ADUN PPBM Sabah akan memilih kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan keharmonian sosial dalam masyarakat di Negeri Sabah berbanding terus bersama PPBM di peringkat pusat yang berisiko meruntuhkan kerajaan Negeri Sabah.


“PPBM di peringkat pusat telah mencatur pelbagai keputusan dan langkah sepanjang pembentukan kerajaan GRS. Dasar-dasar campurtangan politik di dalam pentadbiran kerajaan Negeri Sabah akan mengakibatkan berlakunya pergolakan dan ketidakstabilan,” katanya.


Oleh itu katanya, PPBM Sabah perlu dibubarkan dan digantikan dengan parti politik lokal yang bebas daripada campurtangan luar.


“Langkah tersebut akan menjamin tidak ada perseteruan, persengketaan dan perselisihan dalam kalangan pimpinan GRS.


“Sejujurnya, fakta-fakta di atas adalah pahit untuk ditelan, tetapi itulah realiti yang sedang berlaku. Lambat-laun PPBM akan tetap dikuburkan di seluruh Malaysia. Namun, perbezaannya adalah kestabilan Kerajaan GRS dapat dikekalkan ataupun sebaliknya dalam tempoh tersebut,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page