Pemuda UPKO Keningau Adakan Mesyuarat Pertama 2025
- nabalunews
- Mar 18
- 1 min read

17 Mac 2025
KENINGAU: Pergerakan Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Keningau telah mengadakan mesyuarat rasmi pertama bagi tahun 2025 di Pejabat UPKO Bahagian Keningau, Bandar Baru Keningau.
Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Ketua Pemuda UPKO Keningau, Jeffsonzo Japrin, dengan kehadiran Timbalan Ketua Pemuda, Marxson Marcus, Setiausaha Pemuda, Jayjee Tunjan, serta ahli-ahli pemuda UPKO Keningau.
Dalam mesyuarat tersebut, Setiausaha Pemuda, Jayjee membentangkan perancangan program tahunan bagi tahun 2024 dan 2025. Pelbagai aktiviti telah dicadangkan untuk memperkasakan pergerakan pemuda serta memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Antara program utama yang akan diteruskan termasuk:
Program Bakul Makanan – Inisiatif bantuan makanan kepada golongan yang memerlukan.
Program Melastik – Aktiviti berbentuk tradisional untuk menarik minat belia kepada budaya tempatan.
Program Bola Sepak – Penganjuran kejohanan bola sepak bagi memupuk semangat kesukanan.
Lawatan Pemuda ke Ketua Pemuda Pusat (KPP) UPKO Malaysia untuk mengadakan kunjungan rasmi ke ibu pejabat bagi mempererat hubungan dengan kepimpinan pusat.
Timbalan Ketua Pemuda, Marxson Marcus, turut mencadangkan agar Pemuda UPKO Keningau bekerjasama dengan persatuan belia di bawah Parlimen Keningau bagi menganjurkan program sukan dan aktiviti sihat untuk golongan muda.
Menurutnya, kolaborasi dengan pelbagai pihak akan memperkukuhkan peranan Pemuda UPKO dalam pembangunan belia di kawasan tersebut.
Dalam mesyuarat itu juga, Marxson menyatakan sokongan penuh kepada calon yang akan bertanding dalam mana-mana pemilihan, serta menegaskan komitmennya untuk memastikan pergerakan pemuda terus berkembang dengan program yang lebih inklusif dan bermanfaat kepada masyarakat.
Mesyuarat ini menandakan permulaan yang positif bagi Pemuda UPKO Keningau untuk tahun 2025, dengan perancangan strategik dan usaha berterusan dalam memperjuangkan kepentingan belia serta kebajikan masyarakat setempat.
Comments