Pemuda UPKO Kota Belud Perkukuh Persiapan Hadapi Pilihan Raya Negeri
- nabalunews
- Aug 18, 2025
- 1 min read

18 Ogos 2025
KOTA BELUD: Pergerakan Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kota Belud semalam mengadakan mesyuarat serta sesi taklimat khusus bagi memperkemas strategi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung. Mesyuarat berkenaan turut dihadiri oleh Ketua Jentera Pilihan Raya Negeri Bahagian UPKO Kota Belud, Carlye Lajimin, yang menekankan kepentingan peranan pemuda dalam memastikan kemenangan mutlak penyandang.
Carlye menegaskan bahawa penglibatan aktif pemuda adalah faktor penentu kejayaan parti. Beliau menekankan bahawa setiap anggota perlu menggandakan usaha serta memperkukuh gerak kerja berpasukan demi mencapai sasaran kemenangan.
Ketua Pemuda UPKO Kota Belud, Jolyhame Saran, ketika pembentangan turut menggariskan pencapaian serta perancangan pihaknya. Beliau memaklumkan bahawa sepanjang tahun ini pelbagai program telah dilaksanakan, termasuk kejohanan tarik tali terbuka Kota Belud, bola sepak sembilan sebelah, pertandingan dart, sepak takraw serta sumbangan terhadap aktiviti belia di Kadamaian.
Selain itu, beliau turut mengumumkan penganjuran Larian Pusompuruan bersempena Hari Malaysia pada 15 September ini. Pada tarikh yang sama, Pemuda UPKO Kota Belud juga akan menganjurkan pertandingan Nyanyian Kadamaian Idol sebagai usaha memperkasakan bakat seni generasi muda.
Jolyhame turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian merangkap Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, yang sentiasa memberikan sokongan penuh terhadap program dan inisiatif Pemuda UPKO Kota Belud.
Beliau menegaskan bahawa Pemuda UPKO Kota Belud akan memberikan komitmen sepenuhnya dalam memastikan kemenangan mutlak Ewon pada PRN akan datang. Keyakinan tersebut berlandaskan kepimpinan beliau yang kini turut memegang jawatan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta Ahli Parlimen Penampang (P174).
Dengan kesepaduan usaha serta sokongan berterusan daripada kepimpinan tertinggi parti, Pemuda UPKO Kota Belud optimis mampu memainkan peranan signifikan dalam mengukuhkan kedudukan parti dan memastikan kejayaan di Kadamaian pada pilihan raya negeri kelak.















Comments