top of page

Pemuda UPKO Putatan Kutuk Vandalisme di Gereja Kecil Bukit Sinundu

  • nabalunews
  • Jul 14
  • 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns


PUTATAN, 14 Julai – Satu insiden pencerobohan dan vandalisme berlaku di sebuah tempat ibadat penganut Roman Catholic di Sinundu Miracle Hill (Bukit Sinundu), Duvanson Putatan, yang mengakibatkan kerosakan pada beberapa bahagian premis termasuk patung-patung kerohanian bernilai keagamaan dan warisan komuniti setempat.


Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Putatan, Rayner A. Sintoh, memandang serius kejadian tersebut dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak bertanggungjawab itu.



Beliau menegaskan bahawa perbuatan itu bukan sahaja menyebabkan kerosakan harta benda, malah mencemarkan kesucian rumah ibadat serta menjejaskan keharmonian dan rasa hormat antara masyarakat berbilang agama dan budaya di Sabah.


Rayner menyeru agar pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan tegas terhadap individu terlibat mengikut lunas undang-undang. Beliau turut memohon seluruh masyarakat terus memelihara perpaduan, saling menghormati kepercayaan, serta bersama menjaga keamanan dan keharmonian yang menjadi kekuatan negeri Sabah.



Beliau turut menjelaskan, laporan polis sudah dibuat di Balai Polis berdekatan dan menggesa mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini agar menyalurkannya kepada Polis Diraja Malaysia bagi membantu siasatan.


Beliau berharap insiden sebegini tidak berulang dan mengajak semua pihak mempertahankan nilai hormat-menghormati, toleransi serta keamanan dalam masyarakat.


Bukit Sinundu yang terletak di Kampung Duvanson, Putatan, merupakan kawasan pendakian popular dalam kalangan komuniti setempat dan sering digunakan untuk aktiviti keagamaan serta perhimpunan komuniti. Puncaknya menempatkan sebuah gereja kecil dan terkenal sebagai lokasi menikmati matahari terbenam.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page