top of page

Pemuda UPKO Solid Dan Utuh Bersama Presiden: Felix

  • nabalunews
  • Dec 2
  • 1 min read
ree

2 Disember 2025


KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) memberikan kepercayaan dan sokongan padu kepada kepimpinan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, khususnya dalam mencatur hala tuju parti serta memperkukuh perjuangan hak dan kepentingan rakyat Sabah.


Ketua Pemudanya, Felix Joseph Saang berkata, kepimpinan Datuk Ewon yang berteraskan ketelusan, keikhlasan dan ketegasan menjadi asas kukuh dalam memperjuangkan isu-isu penting.


Katanya, ia termasuk tuntutan hak 40 peratus hasil Sabah yang masih menjadi fokus utama perjuangan parti.


“Pemuda UPKO berdiri teguh di belakang Presiden. Komitmennya terhadap agenda Sabah tidak pernah goyah atau tersasar dari perjuangan asal.


“Perkembangan politik semasa adalah di luar kawalan parti. UPKO masih konsisten menegaskan Kerajaan Sabah seharusnya ditadbir sepenuhnya oleh parti-parti tempatan demi kestabilan dan masa depan negeri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Felix berkata, Pergerakan Pemuda mahu parti-parti tempatan yang memenangi banyak kerusi untuk bersatu dan membentuk Kerajaan Sabah.


Katanya, namun hakikatnya, usaha itu tidak mudah dan seakan hampir mustahil untuk dilaksanakan.


“Pemuda UPKO menekankan kuasa menentukan pelantikan Kabinet negeri bukan terletak di bawah kuasa atau pengaruh UPKO.


“Niat UPKO jelas, parti-parti tempatan harus menguasai sepenuhnya pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah. Pemuda juga kekal dengan pendirian ini,” katanya


Sehubungan itu, Felix turut menyatakan pendirian bahawa kerajaan negeri tidak boleh berada dalam keadaan tergantung dan keputusan perlu diambil demi kepentingan rakyat.


“Setiap keputusan pasti ada kebaikan dan kelemahan. Namun, kerajaan perlu dibentuk dan pentadbiran mesti berjalan,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page