Pemuda UPKO Tuaran buat laporan polis berkaitan Ketua MIC Sabah
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pemuda UPKO Tuaran buat laporan polis berkaitan Ketua MIC Sabah


Rayner (tengah) menunjukkan salinan laporan polis bersama ahli Pemuda UPKO Tuaran

8 Ogos 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Tuaran membuat laporan polis mengenai status kewarganegaraan Ketua MIC Sabah, Peer Mohamad Kadir.


Ketua Pemuda UPKO Tuaran Rayner Ebi berkata, laporan itu dibuat agar siasatan dapat dijalankan terhadap individu berkenaan yang didakwa mendapat dokumen pengenalan diri secara tidak sah selepas beberapa tahun berhijrah dari India ke Sabah.


Katanya, dalam dokumen laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang tanpa dokumen di Sabah RCI, Peer Mohamad Kadir yang dilahirkan di India, Chennai merupakan saksi ke-116.


“Bagaimanapun, individu itu memegang MyKad dengan kod 12 yang menunjukkan bahawa beliau dilahirkan di Sabah tetapi mendapat kad pengenalan MyKad dengan bantuan seorang ‘Pak Cik’.


“Kami ingin bertanya bagaimana dia dapat IC, dokumen apakah yang dia pakai memohon IC, apakah alamat yang dia pakai untuk memohon IC tersebut.


“Bagaimanakah kerajaan boleh luluskan permohonan IC penama Peer Mohamad Bin Kadir dan apakah status siasatan terhadap Peer Mohamad Kadir oleh kerajaan sebagaimana kenyataan Ketua Menteri Sabah yang dilaporkan Free Malaysia Today (FMT) pada 18 Januari 2022 dan portal berita online Berita Harian pada 18 Jan 2022 menyatakan Kerajaan Negeri akan siasat isu kewarganegaraan Ketua MIC Sabah,”katanya menerusi laporan polis.


Dalam pada itu, Rayner hairan kerana Timbalan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jonathan Yassin tidak mengetahui tentang perkara ini.


“Beliau (Jonathan) mengatakan bahawa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak menerima sebarang laporan rasmi mengenai hal ini apabila ditanya dalam Dewan Negara pada 27 Julai lalu. Adakah KDN tidak berminat menyiasat hal ini? katanya.


Rayner turut mempersoalkan bagaimana Peer Mohamad Kadir dilantik sebagai Ahli Lembaga Sawit Kinabalu dan jenis dokumen yang dia guna untuk menjawat kedudukan itu.


“Saya selaku Ketua Pemuda UPKO Tuaran bersama jewatankuasa pergerakan saya, membuat laporan ini untuk siasatan dan tindakan pihak berkenaan,” katanya.

bottom of page