Pemuda, wanita, GEM Upko Kota Belud bekejasama tambah keahlian parti
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pemuda, wanita, GEM Upko Kota Belud bekejasama tambah keahlian parti


Timbalan Ketua Pemuda Upko Kota Belud Arron A. Guramo.

27 Januari 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Pergerakan Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) Bahagian Kota Belud akan bekerjasama dengan semua sayap parti itu untuk menambah keahlian baharu.


Timbalan Ketua Pemuda Upko Kota Belud Arron A. Guramon berkata, setakat ini parti itu mempunyai lebih kurang 10,000 ahli daripada 145 cawangan seluruh Kota Belud.


“Di kawasan Kadamaian sahaja sebanyak 100 cawangan melibatkan kira-kira 9,000 keahlian daripada Pemuda, Wanita dan Generasi Muda.


“Kita akan terus melipatgandakan usaha untuk menarik lebih ramai pemuda, wanita dan generasi muda terutamanya belia 18 tahun dan ke atas menyertai Upko bagi memantapkan parti kita,” katanya kepada Nabalu News.


Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Mesyuarat Agung Tritahunan Cawangan-cawangan Upko Kota Belud, di sini, hari ini.


Majlis itu disempurnakan oleh Naib Presiden Upko merangkap Ketua Bahagian Upko Kota Belud Datuk Ewon Benedick.


Turut hadir Naib Presiden UPKO Datuk Basari Sarkun, Timbalan Setiausaha Penganjur UPKO Carl Moosom dan Ahli-ahli Majlis Tertinggi Petrus Jikuin dan Jimmy Barukang.


Arron berkata, banyak program yang dirancang sebelum ini terpaksa ditunda atau dibatalkan akibat pandemik Covid-19.


“Sepanjang dua tahun program kami lebih kepada kemasyarakatan iaitu penyampaian sumbangan dan bantuan kepada penduduk Kadamaian yang dikuarantin dan yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).


“Selepas ini kami akan mengadakan lawatan ke semua pusat daerah mengundi kawasan Kota Belud bersama ketua bahagian Upko Kota Belud,” katanya.

bottom of page