top of page

Pemulangan Hak 40 Peratus Mampu Selesai Isu Infrastruktur Asas

  • nabalunews
  • Nov 27, 2025
  • 1 min read

27 November 2025


TUARAN: Pemulangan hak 40 peratus hasil Sabah diyakini akan memberi negeri ini kapasiti kewangan mencukupi untuk menyelesaikan punca masalah infrastruktur dan kemudahan asas yang berlarutan sejak sekian lama.


Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Tamparuli, Maxolvin Sintore Gabu berkata, isu jalan raya uzur, gangguan bekalan air, dan ketidakstabilan elektrik bukan berlaku secara kebetulan.


Sebaliknya menurut beliau, ia berpunca daripada kekurangan dana yang sepatutnya menjadi hak Sabah mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.


“Masalah infrastruktur asas antaranya jalan raya rosak, bekalan air yang sering terputus hingga isu tenaga elektrik, semuanya berpunca daripada kekurangan dana yang sepatutnya dimiliki negeri ini.


“Inilah sebab utama UPKO berjuang menuntut pengembalian hak 40 peratus hasil Sabah,” katanya.


Maxolvin berkata kepimpinan UPKO telah menunjukkan keberanian politik dalam memperjuangkan isu itu, termasuk konsistensi Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, yang lantang mengemukakan tuntutan tersebut di parlimen.


Beliau turut menegaskan tindakan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, melepaskan jawatan dalam Kabinet Persekutuan demi mempertahankan hak Sabah, adalah bukti bahawa perjuangan parti itu bukan retorik semata-mata.


Menurutnya, apabila hak 40 peratus itu dikembalikan, Sabah akhirnya dapat merangka penyelesaian menyeluruh bukan sahaja terhadap isu infrastruktur, malah mampu membasmi kemiskinan secara sistemik.


“Inilah gerak kerja UPKO, mencari penyelesaian jangka panjang dan bukan sekadar menampal kerosakan.


“Perjuangan ini mungkin sukar, tetapi ia adalah jalan yang betul demi masa depan Sabah yang bermaruah dan berdaya maju,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page