top of page

Penagih dadah ditahan selepas pergelutan dengan polis

nabalunews
Suspek dipenuhi lumpur selepas bergelut dengan polis di satu kawasan lapang di Bombalai.

23 Ogos 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


TAWAU: Seorang penagih dadah yang cuba melarikan diri berjaya ditangkap polis bersama 8.25 gram dadah jenis syabu selepas pergelutan dalam kejadian di kawasan lapang di Bombalai, semalam.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek lelaki warga asing berusia 31 tahun itu yang dilihat mencurigakan di kawasan tersebut cuba melarikan diri apabila menyedari kehadiran pasukan polis.


“Hasil pemeriksaan, polis menemui sebuah beg kecil di dalam poket seluar yang dipakai suspek yang kemudiannya didapati mengandungi tiga paket plastik disyaki berisi syabu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.


Menurutnya, ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.


Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.


Terdahulu, seorang lagi lelaki warga asing, 23, ditangkap polis bersama 52.06 gram syabu bernilai RM5, 000 dalam serbuan di Kampung Titingan sekitar jam 4.50 petang, semalam.


“Dadah itu diserahkan sendiri oleh suspek kepada polis semasa siasatan awal dan hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dari sebarang dadah serta tiada rekod jenayah lampau,” katanya.


Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala, usaha mengesan rangkaian pengedaran dadah dan individu disyaki lain juga sedang giat dijalankan.


Sementara itu, beliau menyeru masyarakat supaya menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dan dadah, termasuk di kalangan ahli keluarga, jiran dan warga sekampung yang disyaki terlibat dengan aktiviti menyalahi undang-undang.


Sebarang maklumat boleh disalurkan menerusi talian hotline 089-772121 atau melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page