Penaiktarafan jalan Botung-Narinang akan dilaksanakan secara berfasa - Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Penaiktarafan jalan Botung-Narinang akan dilaksanakan secara berfasa - Ewon

9 Disember 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Penaiktarafan jalan kampung Botung - Narinang akan dilaksanakan secara berfasa, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia Datuk Ewon Benedick.


“Masalah jalan ini sudah diadukan oleh penduduk kampung kepada saya sejak tahun 2020. Malah mereka telah mengeluarkan pungutan duit sendiri untuk membaiki jalan ini sebelum ini.


“Sebagai ADUN Kadamaian, saya telah meninjau keadaan jalan kampung ini hari ini untuk melihat kaedah terbaik untuk menaiktaraf jalan ini. Saya melihat sebahagian jalan sudah ditabur dengan batu kelikir dan ada yang telah dibina konkrit.


“Bagi tahun 2023 nanti, saya akan menyalurkan peruntukan untuk menabur batu kelikir di sepanjang jalan ini dan seterusnya akan berbincang dengan Menteri yang lain untuk menurunkan peruntukan membina konkrit jalan ini.


“Pendekatan ini juga saya akan gunakan untuk menaiktaraf jalan-jalan perhubungan kampung yang lain di seluruh Kadamaian,” katanya.


Ewon yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian menyatakan demikian selepas mengadakan tinjauan ke jalan kampung tersebut hari ini.


Turut bersama ialah Penolong Pegawai Daerah Kota Belud Winnie Anggon dan Ketua Pegawai Perhubungan ADUN Kadamaian Carlye Lajimin.

bottom of page